MENGAPA FIKIR TIDAK SERUPA BIKIN?
APAKAH kita
perasan, biasanya tindakan kita selalunya tidak selari dengan apa yang
kita fikirkan? Meskipun ada frasa ‘fikir dua kali,’ lazimnya tindakan
yang dilakukan setelah kita berfikir selalunya tersasar daripada apa
yang kita niatkan. Ini bukan kes cakap tidak serupa bikin, tetapi fikir
tak serupa bikin.
Kita ambil contoh. Dari semasa ke semasa, kita berasa kesal mengabaikan
masa kerana melayari internet, sedangkan kita sepatutnya membuat
kerja-kerja pejabat. Setelah beberapa lama melayarinya, barulah kita
perasan masa kita banyak terbuang. Bila tersedar, baharulah kita
memulakan kerja sambil berazam tidak mahu curi tulang pada keesokkannya.
Malangnya, perkara yang serupa kita lakukan pada hari esok.
Kita selalu berazam untuk berjimat belanja bila mendapat gaji. Tidak
mahu membeli benda yang tidak kita perlukan. Namun, sebaik sahaja kita
menghadap mesin ATM, niat asal untuk mengeluarkan RM100 berubah menjadi
RM200. Niat hendak membeli barang perlu bertukar setelah duit ada di
tangan.
Setiap kali berdiri di tikar sembahyang, kita berniat untuk bersolat
dengan khusyuk. Namun belum pun tamat doa iftitah, fikiran sudah
melayang jauh dengan hal-hal dunia hingga terlupa rakaat solat.
Banyak lagi contoh-contoh yang kalau kita fikirkan, seolah-olah kita ini
sentiasa lalai bila bertindak lain daripada apa yang kita niatkan.
Bertindak tidak serupa fikir. Mengapa ini terjadi? Mengapa, meskipun
telah fikir dua kali, malah berkali-kali, kita tidak dapat patuh dengan
nawaitu asal?
Kita mempunyai otak kiri dan otak kanan. Otak kiri adalah otak logik
yang akan membuat kita berfikir panjang. Otak kanan pula adalah otak
yang banyak berkaitan dengan rasa. Pendek kata, otak kiri, otak
rasional, otak kanan pula otak emosional. Memang mudah untuk rasional
apabila kita duduk diam dan berfikir. Namun, apabila kita mula berdiri
dan melangkah, emosi mengambil peranan hingga apa yang dirancang menjadi
tersasar dan hancur lebur.
Tiadanya kesinambungan di antara berfikir dan bertindak ini sememangnya
satu kelemahan. Dalam sehari, hampir mustahil seseorang itu dapat
bertindak berdasarkan apa yang diputuskan oleh fikiran. Pasti ada
tindakannya di luar apa yang dirancangkan oleh fikiran. Sebaiknya kita
perlu sentiasa waspada dengan kelemahan ini ~ seolah-olah khusyuk dengan
tingkah tanduk kita agar seiring dengan apa yang difikir, meskipun ia
amat sukar.
Bagaimana pun, selagi tindakan yang tidak sebanding dengan fikiran itu
bersifat peribadi, tentulah ia hanya member kesan pada kita sendiri.
Namun, seandainya tindakan kita itu member kesan kepada orang lain, ia
mempunyai risiko yang membahayakan.
Bayangkan, jika seseorang bapa itu walaupun telah berfikir untuk memberi
nasihat kepada anaknya yang nakal tiba-tiba menerima ejekan pula
daripada anaknya? Kata-kata nasihat boleh sahaja disusuli dengan
penampar. Betapa andainya seorang ketua yang mahu menerangkan mengenai
masalah syarikat, sebaliknya diprovok oleh kakitangannya dengan kata
nista? Dia boleh sahaja melepas geram dengan mengambil tindakan yang
memberi kesan terhadap masa depan kakitangannya itu sendiri.
Kita bukan sahaja wajib memimpin diri sendiri. Sebaliknya ada ketikanya
perlu memimpin mereka yang bergantung harap dengan kita. Kerana itu,
andainya kita pula tidak boleh diharap oleh mereka yang menjadi anak
buah, pengikut atau ahli-ahli kita, lebih baik kita melepaskan
tanggungjawab itu kepada orang lain.
Inilah padah apabila tidak boleh menseiringkan apa yang dikikir dengan
apa yang dibuat. Ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah masa
depan orang lain. Biarlah bikin serupa fikir.
No comments:
Post a Comment