Sunday 20 February 2022

DULU DAN SEKARANG......

 Melihat pelajar yang dikumpulkan di 'dewan teknokrat' sekolah, terimbau kenangan waktu saya menduduki SPM di tahun 80 an dahulu. Zaman sekarang pelajar dikumpulkan, disemak kad pengenalan, slip masuk dewan, alatulis, perawakan diri dan sebagainya. Pelbagai nasihat diberikan. Doa dibaca. Alhamdulillah.

Seingat saya, zaman 80 an ke bawah dahulu tiada pengurusan pelajar untuk menduduki SPM seumpama itu. Pelajar bertindak sendiri dan terkawal. Jika terlupa bawa kad pengenalan, mereka sendirilah pergi dapatkan kad 001 dari pejabat. Pelajar lebih matang tatkala itu. Mungkin kerana mereka yang mengambil SPM adalah pelajar yang telah melalui tapisan SRP. Hanya yang bersedia dan mampu menguasai akademik boleh masuk ke tingkatan 4 dan mengambil SPM dua tahun kemudian. Pelajar ketika itu diberikan taklimat awal oleh pihak sekolah sebelum peperiksaan dan boleh dikatakan semuanya memahami dan mematuhi apa yang diarahkan.
Berbeza dengan pelajar sekarang yang semuanya perlu diterangkan, diingatkan dan diperjelaskan setiap hari, dari peperiksaan bermula sehingga habis. Secara umumnya pelajar menjadi manja dan tidak pandai mengurus diri. Perkara ini tidak berhenti begitu sahaja, mereka membawa tabiat ini ke dalam hidup mereka seharian. Antara punca generasi muda kita kurang bertanggungjawab, mengharap ikhsan orang, tidak pandai mengurus diri dan sebagainya datang serba sedikitnya daripada perkara sebegini.
Adakah mereka ini sememangnya manja atau sengaja dimanjakan oleh kita (guru) melalui kaedah yang kita amalkan, yang kononnya mesra pelajar. Bagi saya jika ianya keterlaluan, kita menjadi penyumbang kepada budaya yang kurang sihat itu.
......... Memberi pancing adalah lebih baik daripada memberi ikan. Memberi cangkul adalah lebih baik daripada memberi beras. Tepuk dada tanya selera.

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...