Tuesday 11 January 2022

5 strategi pelajar SPM

 Terdapat lima strategi yang boleh diaplikasi oleh pelajar sebagai menghadapi SPM di era pandemik. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Tetapkan matlamat dan pantau kemajuan diri

Penetapan matlamat yang jelas adalah sangat penting kerana ia mampu meningkatkan motivasi kendiri. Pastikan matlamat yang anda tetapkan adalah munasabah dan boleh dicapai.

Strategi ini boleh diaplikasi ketika anda ingin mengulangkaji pelajaran. Contohnya, anda menetapkan tempoh masa selama dua hari untuk menghabiskan satu bab dari mata pelajaran Sejarah yang mengandungi lima subtopik.

Kemudian, kenal pasti kaedah yang boleh digunakan untuk memantau kemajuan.

Pemantauan boleh dilakukan dengan cara mencatat kemajuan secara manual atau menggunakan aplikasi sedia ada. Menerusi cara ini, anda akan lebih bersemangat untuk mencapai matlamat kerana kemajuan diri dapat dilihat dari masa ke semasa.

2. Dapatkan maklum balas guru sebelum menghantar tugasan

Mendapatkan maklum balas daripada guru sebelum menghantar tugasan akan memberi peluang untuk anda membuat penambahbaikan mengikut jangkaan mereka.

Maklum balas adalah kunci utama dalam membantu anda mencapai objektif tugasan supaya dapat menghasilkan tugasan yang berkualiti tinggi. Tugasan begitu mempunyai potensi yang lebih besar untuk mendapat markah tinggi.

Secara tidak langsung, anda akan kekal bermotivasi untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap tugasan diberikan oleh guru.

3. Kekal berhubung dengan rakan sekelas

Sentiasa kekal berhubung dengan rakan sekelas untuk berkongsi mengenai hal-hal berkaitan pelajaran.

Anda dan rakan sekelas boleh mencipta kumpulan di laman atau aplikasi sosial seperti Facebook dan WhatsApp dan digunakan sebagai medium untuk berkongsi perkara penting yang digariskan oleh guru dalam proses pembelajaran.

Selain itu, kumpulan ini juga boleh menjadi sumber kepada sokongan moral. Jika anda tidak begitu jelas mengenai sesuatu perkara berkaitan mata pelajaran yang diajar oleh guru, anda boleh bertanya kepada rakan-rakan di dalam kumpulan itu.

Strategi ini akan membuatkan anda tidak berasa keseorangan dan ketinggalan kerana kekal berhubung dengan rakan sekelas walaupun secara maya. Selain itu, keraplah mengulangkaji pelajaran dengan rakan-rakan misalnya, menjawab kuiz supaya sesi ulangkaji lebih menyeronokkan.

Susuli azam tahun baharu dengan doa, tawakal

 SUDAH lazim setiap kali berganti tahun, kita akan memasang atau memperbaharui azam, malah ada yang menjadikannya sebagai kewajipan untuk menetapkan satu matlamat baharu dalam kehidupan.

Pelbagai azam kita biasa dengar setiap tahun seperti ingin menurunkan berat badan, mendapat keputusan cemerlang atau menjadi pekerja berdedikasi yang dijadikan sebagai dorongan untuk berusaha lebih kuat dan gigih bagi mencapainya.

Malah sebagai Muslim, penekanan dalam soal ibadat dan akhlak perlu diberi perhatian dalam menetapkan azam seperti memperbaiki solat, khatam al-Quran, bersolat jemaah di masjid, meninggalkan perkara maksiat dan kurang bercakap perkara sia-sia.

Pendakwah dan perunding motivasi, Bakhtiar Fitri Abdul Hamid, berkata azam atau matlamat yang ditetapkan, hendaklah jelas dan bukannya terawang-awang hingga terlalu sukar dilaksanakan.

“Apabila ingin menetapkan sesuatu matlamat, jangan sesekali menyenaraikan terlalu banyak azam hingga tidak mempunyai fokus, sekali gus tidak mampu untuk melaksanakannya.

“Mungkin dengan menetapkan beberapa azam saja, ia boleh dicapai dengan usaha dan strategi berkesan.

“Dalam azam yang ditetapkan itu, walaupun tidak mampu untuk mencapai semuanya, janganlah sampai meninggalkannya,” katanya.



Bakhtiar Fitri berkata, dua azam yang dicadangkan untuk kita berusaha bersungguh-sungguh tanpa berhenti walaupun masih belum berjaya ialah memperbaiki dan menambah baik ibadat.

Rasulullah SAW bersabda, “Diperlihatkan kepadaku tiga (golongan) manusia dari umatku yang mula-mula masuk syurga; (mereka adalah) orang yang mati syahid, orang fakir yang tidak meminta-meminta dan orang yang tidak disibukkan pekerjaannya daripada taat beribadah kepada Allah.” (HR Tirmidzi)

“Elok kita memulakan tahun baharu ini dengan berazam untuk solat pada awal waktu dan secara berjemaah, memperbanyakkan membaca al-Quran serta menunaikan solat sunat seperti dhuha. “Kita juga perlu berusaha memperelok akhlak seperti kurangkan bercakap sia-sia sebaliknya lebih banyak berzikir dan mengingati Allah SWT,” katanya.

Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya sesuatu yang paling utama dalam mizan (timbangan) pada Kiamat ialah akhlak yang baik.” (HR Ahmad)

Allah SWT juga berfirman: “Apabila kamu berazam (membulatkan tekad), maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang bertawakal kepada-Nya.” (Ali-Imran: 159)

Beliau berkata, tidak dinafikan, akan ada dugaan dan cabaran terpaksa ditempuhi hingga kita perlu bergantung dan berserah kepada Allah SWT.

“Setiap matlamat ingin digapai perlu dimulakan dengan niat dan disusuli usaha. Usaha pula perlu disusun dengan strategi atau dilakukan secara berperingkat agar memudahkan untuk dilaksanakan.

“Akhirnya kita bertawakal kepada Allah SWT kerana setiap apa saja dilakukan, kita mesti berserah dan yakin dengan pertolongan-Nya yang insya-Allah ia akan dipermudahkan,” katanya.

Penting untuk ditekankan, Bakhtiar Fitri berkata, sesuatu azam perlu dilakukan dengan penuh istiqamah dan tidak hanya separuh jalan.

Katanya, tidak ramai yang mampu beristiqamah, apatah lagi sekiranya tiada sokongan kerana fitrah ujian dan dugaan dapat melemahkan kita.

“Rasulullah SAW berpesan agar kita mencari sahabat yang boleh memberi peringatan dan mampu membawa kebaikan.

“Kita hendaklah mencari rakan yang dapat memberi motivasi dan bukannya berfikiran negatif agar hati kita berada dalam persekitaran baik.

“Malah apabila berasa lemah, carilah sokongan dan nasihat yang boleh mengembalikan semangat serta keyakinan agar dapat meneruskan usaha untuk mencapai azam,” katanya.

Beliau berkata, tahun baharu bersilih ganti, bermaksud usia seseorang semakin bertambah dan kian dekat dengan kematian, sekali gus kita tidak banyak masa untuk meneruskan amal ibadat.

Justeru, beliau mengingatkan agar tidak lagi bertangguh untuk melakukan kebaikan sementara masih diberi peluang.

Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW pernah menasihati beliau: “Hiduplah engkau di dunia ini seakan-akan sebagai orang asing atau musafir dan mempersiapkan dirimu untuk menuju negeri akhirat.” (HR Bukhari)

Bakhtiar Fitri berkata, Nabi SAW menggambarkan kita akan bertemu dengan 50,000 tahun perjalanan akhirat yang sangat menakutkan dan mengerikan.

“Umur majoriti kita di dunia hanyalah sekitar 60 tahun hingga 70 tahun. Dengan masa dan usia berbaki ini, kita perlu mencari bekalan dengan memperbanyakkan amal kebaikan dan ibadat dengan penuh takwa,” katanya.



Sementara itu, pendakwah, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata dalam menyambut tahun baharu, umat Islam perlu terus bermuhasabah dan tidak terikut-ikut dengan budaya kuning.

Ahmad Fauwaz berkata, kita perlu mengambil kesempatan masih berbaki untuk memperbaiki diri, sekali gus lebih baik daripada tahun sebelumnya.

“Umat Islam tidak dilarang menyambut tahun baharu walaupun ulama berbeza pendapat dalam

hukum sambutan tahun baharu Masihi ini.

“Walaupun ada ulama berpandangan ia boleh diraikan, ia perlu dalam batasan berlandaskan syarak.

“Sebagai orang berpegang kepada ajaran Islam, kita perlu tahu batasan yang dibolehkan untuk meraikannya antaranya menghindari perkara berbentuk kemaksiatan dan sia-sia seperti konsert atau pesta menanti detik tahun baharu,” katanya.

Sebaliknya Ahmad Fauwaz berkata, umat Islam perlu mengisinya dengan penghayatan Islam seperti ceramah agama, solat hajat dan majlis tahlil.

Katanya, program sebegini bukan saja bermanfaat kepada masyarakat, bahkan diberikan ganjaran pahala.

“Kita tidak perlu terikut-ikut cara Barat meraikan sesuatu perayaan kerana dibimbangi akan memesongkan akidah kita sekiranya bertentangan dengan Islam. Sebaliknya, isi dengan aktiviti atau program yang bermanfaat kepada diri dan kehidupan.

“Memang tidak salah berhibur ataupun melakukan perkara bersifat keduniaan, namun ia perlu selari dengan keperluan akhirat yang boleh memberi keberkatan dan membawa diri lebih dekat dengan Alah SWT,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fauwaz mengingatkan jangan sampai melupakan atau menghilangkan semangat sambutan tahun baharu Hijrah yang lebih penting kepada umat Islam.

“Kita perlu lebih menghayati sambutan tahun baharu Hijrah yang banyak penghayatan boleh diambil, apatah lagi ia detik terpenting dalam perkembangan Islam sejak zaman Rasulullah SWT.

“Namun, sikap sebahagian kita seakan-akan terbalik pula kerana lebih teruja dengan sambutan tahun baharu Masihi, sekali gus menjadi cabaran untuk memastikan umat Islam lebih peka terhadap tarikh penting dalam Islam,” katanya.

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...