Monday 27 January 2020

Sunday 12 January 2020

Tak payah bersedekah jika sekadar mahu menunjuk

1. Kita biasa dengar, kalau nak buat baik, nak bersedekah, kena buat senyap-senyap, kena sembunyikan amal jariah kita, bak kata pepatah apabila tangan kanan memberi, jangan sampai tangan kiri tahu, kerana dikhuatiri mengundang riak dan ujub dalam diri pemberi sedekah.

2. Lalu apabila ada orang buat kebaikan secara terbuka dan terang-terangan, ada yang kecam kalau buat baik setakat nak menunjuk baik tak payah buat.

3. Malah pernah juga aku terdengar pesanan khidmat masyarakat semacam ini keluar di radio, di mana selebriti tersebut berpesan lebih kurang begini, "Kalau buat baik setakat nak menunjuk baik tak payah, nak buat baik kena ikhlas okay".


4. Jadi bila kita nampak orang lain berbuat baik dan menunjukkan amal jariahnya secara terbuka, kita kecam. Cakap dia berlagak, riak, ujub, takbur, menunjuk dan sebagainya.

5. Orang bagi sedekah kepada sekolah guna replika cek besar, kita kecam cakap menunjuk. Orang bagi bantuan kat rumah anak yatim lepas tu letak kat Facebook, kena kecam kata riak. Orang politik turun padang bagi beras kat orang miskin, kita kecam kata dedak. Ada NGO nak bagi makanan percuma pada mahasiswa, kita kecam cakap pelajar manja sangat. Lepas tu cakap kalau setakat nak menunjuk baik tak payah.

6. Di sinilah yang kita silap bila kita anggap "lebih baik tak payah kalau setakat nak menunjuk".

7. Ya, memang Islam mengunjurkan kita memberi sedekah secara tertutup dan sembunyi untuk mendidik rasa rendah diri, memupuk keikhlasan, mengelakkan perasaan riak dan ujub serta demi menjaga maruah dan kehormatan mereka yang menerima sedekah tersebut, namun sebenarnya tak salah untuk kita bersedekah secara terbuka atau terang-terangan.

8. Kita kena faham segala bentuk amalan sama ada seseorang itu ikhlas atau riak, itu adalah antara manusia dan Tuhan sahaja. Kalau niat kita memang ikhlas, kita dapat ganjaran di sisi Allah. Kalau niat kita nak riak, kita tak dapat apa-apa ganjaran malah boleh mengundang dosa. Itu adalah faedah akhirat pada sang pemberi.

9. Allah tahu apa niat dan apa dalam hati seseorang, tetapi seorang manusia tidak tahu apa sebenarnya dalam hati seseorang manusia yang lain. Jadi manusia tidak boleh menilai dan menghukum niat manusia lain sebab ia diluar pengetahuan dan kekuasaan kita.

10. Asal kita nampak orang buat baik secara terbuka, kita kecam cakap dia nak menunjuk, sedangkan boleh jadi orang yang memberi sumbangan secara terbuka dan terang-terangan ini niatnya adalah untuk mengajak orang lain untuk turut memberi sumbangan kepada orang yang memerlukan, atau mungkin dia sebagai orang tengah yang mengumpul dana yang disumbang orang ramai, jadi dia perlu post di media sosial agar penyumbang lain tahu yang sumbangan mereka telah berjaya disalurkan kepada penerima.

11. Jadi tak kisahlah bila ada orang buat amal jariah secara terbuka atau sembunyi, biarlah. Apa pun niat sebenar dalam hati dia, adalah tak wajar bagi kita untuk suruh mereka berhenti memberi, kerana yang penting adalah akhirnya penerimanya tetap akan mendapat faedah dunia dari pemberian tersebut, tidak kira siapa pemberi atau cara pemberian.

12. Kalau memang pemberinya ada niat riak atau nak menunjuk, itu biarlah Tuhan yang hukum. Tapi di pihak penerima, dia tetap akan dapat faedahnya dari pemberian tersebut.

13. Ada orang nak bagi sumbangan RM10,000 pada rumah anak yatim sama ada pakai replika cek besar atau menyorok-nyorok, rumah anak yatim tersebut tetap dapat RM10,000. Ada orang bagi beras pada orang miskin lepas tu upload kat Facebook atau tidak, orang miskin itu tetap dapat makan nasi dari pemberian tersebut.

14. Kita pula yang kecam ini hanya tahu kecam sahaja, tapi kalau orang yang kita kecam itu merajuk dan tidak mahu lagi bagi sumbangan, takde pun kita nak gantikan tempat dia untuk beri bantuan pada orang yang dibantu itu. Jadi jangan terlalu berprasangka buruk pada orang lain, boleh jadi bukan dia yang riak, sebaliknya kita yang iri hati dan cemburu.

15. Tidak salah kalau nak memberi nasihat dan peringatan tentang sifat riak, ujub dan takabur, tapi lakukanlah secara umum tanpa mengata pada siapa-siapa, sebab kita tak boleh baca pun niat seseorang. Kalau kita tak mampu berbuat baik, usah berdengki pada yang mampu.

16. Dan yang paling penting, sekali lagi, jangan kecam dan suruh orang lain berhenti memberi, kerana yang paling penting dalam suatu sumbangan adalah sang penerima akhirnya mendapat manfaat dari sumbangan tersebut.

Menjayakan kempen utamakan produk Muslim

1. Nampaknya kempen Buy Muslim First (#BMF) atau utamakan membeli barang dan produk orang Muslim semakin giat dijalankan semula. Sebagai seorang Muslim, aku amat sokong kempen seperti ini. Kempen ini bukan bermakna kita boikot nak jatuhkan produk kaum/agama lain, cuma kita utamakan produk orang Islam dulu untuk membantu mengukuh ekonomi orang Islam.

2. Sebab apa kita tak boikot sepenuhnya produk kaum/agama lain? Sebab di Malaysia ni, pusing sana sini mesti akan terkait antara satu sama lain. Peniaga Muslim pun ada ambil stok barang dari pemborong bukan Muslim. Peniaga bukan Muslim pun ada jual produk Muslim di kedainya. Syarikat bukan Muslim pun ada ambil orang Muslim menjadi pekerjanya, begitu juga sebaliknya. Kedai Muslim pun bukannya ada di semua tempat. Jadi kalau kita boikot sepenuhnya, ekonomi peniaga dan pekerja Muslim juga boleh terkena kesannya.


KAEDAH YANG DICADANG

3. Jadi kaedah yang dicadangkan dalam kempen BMF ini adalah seperti berikut:
  • Beli produk Muslim di kedai pemilik Muslim.
  • Jika tidak ada kedai pemilik Muslim berdekatan, beli produk Muslim di kedai pemilik bukan Muslim.
  • Jika tidak ada produk Muslim, beli produk bukan Muslim di kedai pemilik Muslim.
  • Jika tidak ada produk dan kedai Muslim, beli di kedai bukan Muslim yang pekerjanya Muslim.
  • Jika semua kriteria di atas tidak dapat dicari, terpulang kepada anda nak beli di mana.

TIADA PAKSAAN DALAM KEMPEN

4. Kalau ada rakan Muslim kita yang tak ikut kempen ini pun, terpulang. Jangan pula mencemuh dan mengeji mereka. Tiada paksaan dalam melaksanakan kempen ini. Tapi kalau tak nak ikut kempen ini pun, jangan pula menyindir dan merendahkan orang yang mahu ikut berkempen dengan perlian seperti hangat-hangat tahi ayam dan sebagainya. Yang penting usaha nak bantu saudara sesama agama tu dah ada. Agama Islam adalah agama kasih sayang jadi tak perlu mengecam antara satu sama lain.

PERANAN PENIAGA MUSLIM

5. Untuk menjayakan kempen ini, para peniaga dan pelanggan perlu memainkan peranan. Untuk peniaga terutama yang ada kedai atau menawarkan suatu perkhidmatan, benda paling utama adalah akhlak. Anda jaga adab dengan pelanggan, sentiasa murah dengan senyuman, tawarkan bantuan, tidak menipu, insya Allah tanpa ada kempen seperti ini pun, pasti ramai orang akan jadi pelanggan tetap anda.

6. Walaupun aku sokong kempen ini, namun aku sendiri ada beberapa kedai dan perkhidmatan orang bukan Muslim yang aku selalu pergi dan guna seperti bengkel kereta dan sebagainya, sebab apa? Sebab layanan mereka pada pelanggan sangat baik sampai boleh berkawan. Jadi kunci utamanya adalah jaga hubungan dan bina kepercayaan pelanggan. Kalau anda peniaga Muslim tapi muka selalu ketat, kasar dan tak bersungguh layan pelanggan, kami nak bantu pun hilang selera.

PERANAN PELANGGAN MUSLIM

7. Dan di pihak pelanggan pula, ada 2 sebab kenapa pelanggan Muslim membeli barang/perkhidmatan dari peniaga Muslim. Pertama, pelanggan Muslim ini memang ikhlas mahu sokong ekonomi Muslim. Makan di restoran Muslim, beli barang di kedai runcit Muslim, beli barang keperluan jenama Muslim.

8. Dia punya ikhlas nak tolong peniaga Muslim, sampai langsung tak pernah tawar menawar dan minta murah dari peniaga Muslim. Bila bayar tu kalau ada baki beberapa ringgit atau sen, dia suruh peniaga "keep the change". Langsung tak pernah berkira dengan peniaga Muslim. Lepas tu siap promote bisnes peniaga Muslim ni kat kawan-kawan dia. Pelanggan ikhlas nak membantu macam ni yang paling bagus.

9. Manakala jenis yang kedua, pelanggan Muslim ini beli barang/perkhidmatan dari peniaga Muslim lain semata-mata nak mengambil kesempatan, sebab dia tahu dia susah nak ambil kesempatan terhadap peniaga bukan Muslim. Dia mempergunakan sentimen saudara sebangsa dan seagama untuk ambil kesempatan.

10. Bila kawan buka bisnes, dia cakap nak bantu tapi minta murah gila-gila konon atas dasar kawan. Beli atau guna perkhidmatan dari peniaga Muslim tapi nak berhutang. Bila minta bayar hutang asyik lari dan bagi alasan. Orang tu berniaga, bukan buka bank. Nak hutang berhutang la dengan bank, pergi menyusahkan peniaga Muslim tu dah kenapa.

11. Ada seorang kawan aku pernah kena, dia buka kedai percetakan. Datang seorang penceramah motivasi kawasan setempat nak print buku motivasi dia sendiri. Dia cakap dia pergi kedai kawan aku ni sebab nak tolong Melayu, tapi dia nak bayar bulan depan. Malangnya masuk setengah tahun masih tak bayar. Setiap kali minta hutang ada je alasan, malah kawan aku tu pula yang dimarahnya.

12. Lepas tu dengan muka tak malu nak print lagi buku baru dia kat kedai kawan aku sedangkan hutang lama masih tak selesai. Cuba pergi kedai printing Cina tengok mereka bagi hutang ke tak bagi? Kita dah tolong dia, dia tindas kita pula. Nama je penceramah motivasi tapi ambil kesempatan atas kaum seagama sendiri. Memang boleh Buasir Otak bila fikir balik.

13. Seorang lagi kawan aku, ada buka bisnes dekorasi dan pengubahsuaian rumah. Datang seorang kawan lama, konon nak bagi projek buat deko kat rumah VIP. Sebab percayakan kawan lama, dia pun buat la projek kat rumah VIP tu. Lepas dah siap, kawan dia suruh minta bayaran dari VIP tu. Kawan aku tu minta bayaran kat PA VIP tu, dia suruh minta kat kawan dia tu. Last-last kena tolak sana sini kena scam dengan kawan sendiri.

KESIMPULAN

14. Jadi pokok pangkalnya, dalam kempen utamakan produk Muslim ini, dua-dua pihak sama ada peniaga dan pelanggan kena mainkan peranan. Niat kena ikhlas nak bantu satu sama lain, jaga hubungan sesama pihak, tidak menipu dan tidak mengambil kesempatan antara satu sama lain. Bantulah atas nama persaudaraan agama dan bangsa, bukan gunakan persaudaraan agama dan bangsa untuk kepentingan masing-masing.

Saturday 4 January 2020

05.01.2020 Hari ke 3 persekolahan

Hari Ahad macam biasa ada sesi perhimpunan pagi. Minggu ini tiba giliran kumpulan saya bertugasa. Dan hari ini sy ditugaskan bersama di depaan mintu masuk sekolah bagi menyambut kedatangan ibubapa dan pelajar ke sekolah






ANUGERAH UNTUK STUDENT DIPERHIMPUNAN PAGI




UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْÙ…ِ اللهِ الرَّØ­ْمنِ الرَّØ­ِيمِ , الْØ­َÙ…ْدُ Ù„ِÙ„َّÙ‡ِ ÙˆَالصَّÙ„َاةُ ÙˆَالسَّÙ„َامُ عَÙ„َÙ‰ رَسُولِ ال...