KAUNSELOR PELAJAR
SEKOLAH MENENGAH TEKNIK TERENGGANU.......................... ipinkaunselor(KB04106)
Wednesday 17 April 2013
Melihat Allah Di Syurga Pada Hari Kiamat
Melihat Allah Di Syurga Pada Hari Kiamat
Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Setiap yang berbuat dosa
pasti akan dibalas siksaan neraka. Setiap yang berbuat baik dan taat
pada Allah pasti akan dimasukkan ke dalam syurga. Di sini aku ingin
berkongsi sebuah kisah yang amat membuatkan hati aku bergetar hingga
menitis air mata kerana menginginkan kenikmatan ini. Ya, siapa yang
tidak mahu melihat Allah, tuhan yang telah mencipta Adam dari tanah, jin
dari api dan malaikat dari cahaya, tuhan yang berdiri dengan
sendirinya.
Dari Abu Hurairah R.A, para manusia bertanya kepada Rasulullah S.A.W,
“Ya Rasulullah, apakah kita semua dapat melihat Allah pada hari kiamat
nanti?” Nabi menjawab, “Apakah kamu ragu-ragu dapat melihat bulan pada
waktu purnama, melihat matahari apabila tidak dilindungi awan?” Mereka
menjawab, “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kamu semua
akan melihat Allah sebagaimana kamu jelas melihat bulan purnama dan
matahari yang tidak dilindungi awan”.
Rasulullah pernah bertanya kepada Jibril,
“Hai Jibril pernahkah kamu melihat Allah?” Jawab Jibril, “Bahawa di
antara aku dan Allah ada 79 hijab yang terdiri dari lapisan-lapisan
cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, maka akan terbakarlah aku
memandangNya. Sedangkan antara engkau dan Allah ada 71 lapisan hijab
dari cahaya. Bila terbuka hijab yang paling luar, engkau akan terbakar
pula memandangnya.”
Dari sini kita dapat lihat amat mustahil
untuk melihat wajah Allah di dunia ini. Nabi Musa A.S pernah meminta
kepada Allah untuk melihatNya. Tetapi baru sahaja Allah menunjukkan diri
kepada gunung, gunung itu bergegar dan hancur sehingga Musa jatuh
pengsan. Ini membuktikan gunung yang kuat lagi kukuh akan hancur bila
Allah menunjukkan diriNya, inikan pula manusia yang lemah.
Diriwayatkan setelah para penghuni syurga selesai menikmati susana
paling indah dan berbeza pada hari pertama di syurga, lalu mereka
dipakaikan dengan pakaian yg serba indah yang dihadiahkan oleh Allah.
Setelah itu Allah memerintahkan malaikat Jibril menghantar bau-bauan
harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Kemudian
muncul pula burung ajaib yang rupanya terlalu cantik terbang di udara
taman syurga.
Burung ajaib itu mengembangkan sayapnya maka
terperciklah bau-bauan harum semerbak merenjis pada tubuh dan pakaian
ahli syurga. Maka bertambah harum dan nyaman susana waktu itu.
Tercengang para penghuni syurga melihat keajaiban yang berlaku. Ia
sebagai balasan kepada janji Allah untuk orang yang beriman.
Seketika kemudian terdengar satu suara yang paling ganjil dan
menakjubkan memenuhi ruang taman syurga yang luas. Suara itu merupakan
kalimah dari Allah S.W.T sendiri yang pertama kali didengar oleh
manusia. Firman Allah,
“Apakah lagi permintaan kamu kepada Aku wahai hamba-hambaKu? Mintalah kepada Aku dan Aku akan memenuhi kehendak kamu semuanya”.
Semua penghuni syurga ketika itu tergamam, terdiam, tercengang dan
terperanjat apabila mendengar kalimah dari Allah. Ia suatu nikmat yang
paling berharga. Kemudian seluruh manusia yang memenuhi ruang taman
syurga itu berkata,
“Wahai tuhan kami, sesungguhnya Engkau
telah sempurnakan janjiMu tentang kenikmatan yang akan Engkau
anugerahkan ke atas hamba-hambaMu yang mengsyukuri setiap nikmat di
dunia dahulu. Demikian pun wahai tuhan kami, izinkanlah kami untuk
melihat wajahMu di hari akhirat yang telah Engkau janjikan ini”.
Seketika kemudian secara tiba-tiba, muncullah sebuah mimbar yang amat
ajaib di taman syurga. Lalu muncul malaikat Jibril membimbing tangan
Nabi Musa naik ke atas mimbar yang indah itu untuk membacakan kitab
Taurat supaya dapat dihayati oleh seluruh umat manusia di dalam syurga.
Selesai membaca kitab Taurat dengan bacaan yang lembut itu, maka Jibril
menjemput pula Nabi Isa memperdengarkan bacaan kitab Injil yang pernah
diturunkan Allah kepada beliau.
Kemudian Jibril mempersilakan
Nabi Daud membacakan kitab suci Zabur dan beliau membaca dengan suara
yang enak sekali didengar. Selesai kitab Zabur dibacakan, Jibril
akhirnya menjemput junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W ke atas mimbar
untuk membacakan kitab suci Al-Quran. Rasulullah membaca dengan suara
yang paling merdu dan lembut serta tak pernah didengari oleh sesiapa pun
sewaktu di dunia dahulu sehinggakan semua penghuni syurga terpegun.
Setelah selesai pembacaan keempat-empat kitab suci yang pernah
diturunkan kepada umat manusia di dunia dahulu, maka terangkatlah suatu
hijab (halangan) di langit syurga ketika itu. Apabila terbuka sahaja
hijab itu, maka keluarlah angin yang lembut bersama sejenis bauan yang
sangat harum dan menakjubkan. Sekalian manusia di syurga berasa terkejut
melihat suatu kejadian paling ajaib yang tak pernah terfikir oleh akal.
Kemudian terbuka lagi sebuah hijab yang lebih besar iaitu hijab yang
menghalang setiap makhluk melihat wajah Allah S.W.T. Di sinilah saat
paling nikmat dan paling berharga bagi setiap penghuni syurga kerana di
sinilah tempat pertemuan yang sebenarnya antara manusia dengan Allah.
Allah lalu memberi salam kepada sekalian manusia dan seluruh manusia
menyambut salam dengan rasa nikmat dan syukur tak terperi.
Berkatalah seluruh manusia kepada Allah yang Maha Pencipta, yang Maha Berkuasa, yang Maha Pengasih dan Penyayang,
“Wahai tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini”.
Allah lalu berfirman,
“Wahai hamba-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan suatu hari untuk kamu
semua rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan
nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga
bukanlah tempat kamu semua berbuat ibadat, tetapi ia merupakan tempat
mulia untuk kamu merasa kesenangan nikmat yang berkekalan. Walaupun
begitu, demi keagunganKu, Aku izinkan kamu semua sujud sekali kepadaKu
pada hari ini”.
Dari Shuhaib R.A, Rasulullah S.A.W bersabda,
“Apabila ahli syurga telah masuk ke syurga, Allah berfirman, “Apakah
kalian ingin tambahan sesuatu dariKu?” Kata mereka, “Bukankah Engkau
telah memutihkan wajah kami? Bukankah Engkau telah memasukkan kami ke
dalam syurga dan menyelamatkan kami dari api neraka?” Lalu Allah membuka
hijabNya, maka tidak ada pemberian yang paling mereka cintai melainkan
melihat wajah Allah Azza wa Jalla. Kemudian Rasulullah S.A.W membaca
ayat ini, “Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik
(syurga) dan tambahannya.” [Yunus: 26]
Melihat Allah S.W.T
merupakan kenikmatan yang paling dicintai bagi penghuni syurga. Selain
itu, keistimewaan syurga Firdaus ialah para penghuninya akan dapat
melihat wajah Allah dua kali dalam sehari iaitu pada waktu pagi dan
petang. Sedangkan nikmat yang tertinggi di dalam syurga ialah apabila
manusia dapat menatap wajah Allah.
No comments:
Post a Comment