Saturday 16 January 2016

PANDANG LAH DENGAN MATA HATI

Setiap manusia mempunyai dua mata, mata lahir dan mata batin. Ertinya semua manusia oleh memandang dengan dua cara iaitu pandangan dengan mata dan pandangan dengan hati. Sebagai contoh, cuba kita pandang ibu kita, semasa dia masih mudah dan semasa dia sudah tua. Mata memandang ibu masa mudanya cantik dan bergaya tapi masa tuanya buruk dan lemah sekali. Tentu mata suka memandang ibu masa mudanya daripada waktu tuanya. Tapi hati memandang ibu masa mudah sama saja dengan waku tuanya malah lebih kasih, sayang, simpati dan pertolongan kita akan lebih ketika ibu tua daripada masa mudahnya.

Begitu penilaian mata berbeza dengan penilaian hati, mata menilai lahir seseorang sedang hati menilai hakikat seseorang (budi, jasa, dan kebaikannya). Ertinya pandagan mata tidak setajam pandangan hati.
Di dalam Al Quran Allah SWT banyak menganjurkan manusia agar menggunakan hati dalam memandang dan menilai. Antara FirmanNya: “Mengapa kamu tidak memandang (dengan hati).” “Mengapa kamu tidak mengambil iktibar.” “Mengapa kamu tidak berfikir.” Ali Imran : 65.
Allah tidak berkata kenapa kamu tidak gunakan matamu? Sebab pandangan mata lahir gagal memandang kebenaran dan hakikat sesuatu sedangkan mata hati mempu berbuat begitu. Sebab itu terhadap orang-orang yang tidak menerima kebenaran dan tidak beriman dengan Allah, Al Quran mengatakan: “Bukan mata yang buta tapi hati.” Al Haj : 46.
Di dalam mencari kebenaran mata lahir bukanlah hakim yang adil. Sebab itu dalam mengambil sesuatu sikap dan pendirian, janganlah kita bersandar pada pandangan lahir semata-mata, sebab pandangan lahir sekali-sekala menipu kita.
Misalnya kalau kita berjalan di jalan raya bertar dalam terik matahari, dalam jarak yang jauh di depan, mata kita akan nampak air di atas jalan itu. Kita pun segera mendekati tempat itu tetapi didapati tiada air di sana. Ertinya mata kita telah memberi maklumat yang salah pada kita. Begitu juga kita memandang gunung dari jauh, nampaknya cantik, tetapi kalau didekati, kecantikan tadi tiada lagi. Yang tinggal ialah batu-batu dan pokok-pokok besar, tajam dan menakutkan.
Sekali lagi mata kita menipu kita. Banyak lagi contoh-contoh dan pengalaman hiudp kita yang membolehkan kita yakin bahawa penilaian mata lahir terhadap setengah-setengah perkara adalah salah sama sekali.
Sebaliknya pandangan hati dapat menembus hakikat kewujudan sesuatu. Malah hati-hati yang benar-benar hidup bukan saja boleh nampak hikmah dan kebenaran sesuatu tetapi juga dapat meninjau alam ghaib.
Sesuatu yang di luar alam nyata yang mata lahir langsung tidak dapat memandangnya, dapat dijangkau oleh mata hati. Misalnya tentang Allah, tentang syurga, dan tentang neraka. Hati yang hidup sentiasa nampak dan terbayang-bayang. Tetapi kalau hati buta, orang itu bukan saja tidak nampak, malah percaya pun tidak. Sebab itu tidak hairan kalau terdapat perbezaan yang besar antara umat Islam di zaman salafussoleh dengan umat Islam di zaman kita ini.
Para salafussoleh mempunyai mata hati yang hidup terang-benderang sedangkan kita mempunyai mata hati yang mati, kaku dan buta (yang celik hanya mata lahir). Mereka nampak alam akhirat sedangkan kita tidak tahu-menahu tentangnya. Sebab itu mereka korbankan dunai mereka sebagai tebusan pada kebahgiaan akhirat. Sedangkan hati kita menjual akhirat untuk membeli dunia yang sempit ini. Tetapi apa yang terjadi?
Pemburu-pemburu akhirat dapat jadi tuan di dunia, menawan tiga perempat dunia, sedang kita pemburu-pemuru kehidupan dunia resah gelisah dan papa-kedana. Sebelum Allah campakkan dalam neraka akhirat, kita telah campakkan diri kita dalam neraka dunia. Demikian pandangan hati memimpin manusia untuk hidup sebagaimana sepatutnya di dunia yang sementara ini, sedangkan pandangan lahir membuatkan manusia tertipu di mana-mana tidak puas-puas, tidak cukup-cukup dan mati tidak membawa sesen pun. Sebab itu dalam usaha menilai kehidupan dunia, kita tidak boleh menilai dengan pandangan lahir semata-mata, sebab mata hanya memandang lahir yang cantik, yang menawan, yang mempesonakan, konon membahagiakan manusia.
Mata tidak dapat melihat apa yang ada di sebalik kecantikan lahir itu. Iaitu sifatnya yang sementara yang akan ditinggalkan bila kita mati. Dan sifatnya yang menipu, sentiasa memujuk rayu agar ktia terpesona dengannya hingga kita lalai dari Tuhan. Dan sifatnya yang tidak pernah memberi kepuasan pada kita, sudah dapat mahu lagi, umpama meminum air laut, makin diminum makin haus. Atau umpama fatamorgana yang bila di dekati, menghilangkan diri. Dunia yang kalau kita menyerah diri padanya, maka akan ditunggangnya kita semahunya atau ikut kemahuannya.
Jadi untuk apa kita berkorban pada dunia yang palsu dan menipu ini? Bukankah lebih baik kita berkorban untuk akhirat yang menjanjikan kebahagiaan yang abadi?
Tetapi untuk jadi begitu, hati kita mesti hidup, celik dan berfungsi. Bila hati dapat memandang, barulah kita dapat memandang hakikat dan rahsia hidup di dunia ini. Dan kalau begitu barulah kita akan dapat kekuatuan untuk memandang dunia ini sebenarnya tidak ada apa-apa.
Untuk menghidupkan hati, kita kenalah beriman. Iman yang menyampaikan kita pada apa yang diceritakan oleh Allah dalam FirmanNya: “Orang yang sentiasa mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan ketika berbaring. Dan sentiasa berfikir tentang penciptaan langit dan bumi.” Ali Imran : 191
Kesan dari berfikir menggunakan mata hati, manusia akan mengenal dirinya dan sekaligus mengenal Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa mengenal dirinya, nescaya dia mengenal Tuhannya.”
Bila seseorang sudah sampai ke tahap kenal Allah (bukan setakat tahu tentang Allah) nanti orang itu akan mampu memilih dan melaksanakan jalan hidup (syariat) yang ditentukan oleh Allah SWT dalam agamaNya, Islam. Dan itulah satu-satunya jalan kebahagiaan dunia dan akhirat. Sebaliknya seseorang yang tidak menggunakan mata hatinya dalam menentukan kehidupan, nanti orang itu akan sesat di dunia, yakni tidak kenal Allah dan tidak ikut agama Allah, dan di akhirat Allah akan lontarkan ke dalam neraka.
Firman Allah: “Sesungguhnya Kami masukkan ke dalam neraka Jahannam kebanyakan jin dan manusia yang mereka ada hati tetapi tidak melihat (kebenaran), ada telinga tidak mendengar (kebenaran) dan ada mata tidak melihat (Al Quran). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi.” Al Araf : 179.

MATA HATI YANG BUTA
Tuhan! Setiap detik engkau memberi oksigen kepada manusia
Membolehkan mereka menyambung hidup
Mereka tidak pula nampak nikmat itu dari-Mu
Setiap masa mereka menggunakan mata untuk melihat keindahan alam-Mu
Setiap masa juga mereka mendengar berbagai-bagai berita dan ilmu
Menggunakan telinga yang Engkau anugerahkan pada mereka
Namun mereka tidak terasa apa-apa bahawa itu pemberian-Mu
Mereka hidup begitu sahaja tanpa memikirkannya
Mereka tanpa malu-malu dengan-Mu,
nikmat yang begitu besar Engkau beri kepada mereka
Seolah-olah Engkau tidak memberi apa-apa kepada mereka

Mereka boleh berfikir dengan akal anugerah dari-Mu
Dengan akal ini, bermacam-macam rahsia alam-Mu yang mereka temui
Ilmu demi ilmu, penemuan demi penemuan yang mereka peroleh dari-Mu
Walaupun begitu tidak terasa juga oleh mereka kuasa-Mu dan anugerah-Mu
Mereka tidak terasa kasih sayang-Mu dan nikmat dari-Mu

Mata otak mereka sahaja yang terbuka
Mata hati mereka sudah buta
Hampir merata manusia hidup di dunia begini keadaannya
Engkau sebagai Tuhan mereka melupakannya
Lantaran itulah berbagai-bagai cara Engkau hukum mereka
Dengan bencana alam, kemiskinan, tidak ada kasih sayang sesama mereka
Engkau hukum mereka dengan berbagai-bagai jenayah, pergaduhan dan peperangan menyusahkan mereka
Engkau dera mereka dengan didatangkan berbagai-bagai penyakit merbahaya
Namun masih belum lagi mereka insaf dan sedar
Mereka tidak akan sedar selagi mata hati mereka buta

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...