"Hati adalah sasaran utama proses tarbiyah," Kata-kata yang masih tersemat kukuh di jiwa saya.
Tema proses tarbiyah adalah Imanubillah
(beriman dengan Allah S.W.T) dan Imanubil akhirah (beriman dengan hari
Akhirat). Tema ini akan terus ditekankan, difokuskan dan diutamakan
dalam membentuk keperibadian mukmin yang tunduk dan patuh kepada sistem
aturan Allah S.W.T.
Fokuskan diri kita dengan tazkiyatun nafs
(penyucian jiwa). Antara unsur-unsurnya ialah taubat, mengingati mati
dan takut dengan azab api Neraka.
Tema-tema inilah yang kini menjadi fokus
di dalam proses pembentukan keperibadian mukmin pada saat ini dan ia
akan menjadi teras tarbiyah sehingga bertemu Allah S.W.T. Tidak boleh
berlaku sebarang pengabaian terhadapnya walaupun seketika!
Kata-kata dari ulama Indonesia, dalam
bahasa Indonesia ia disebut cambuk hati. Dalam bahasa kita, ia disebut
"Merotan Hati". Mudah sebut, ia adalah pukulan, tubi-tubi kepada hati
dengan sesuatu agar hati menjadi peka, sensitif, sedar dan kembali
bermaya.
Merotan hati dengan amalan soleh inilah
yang akan memberikan kita jalan untuk meniti Syurga Allah S.W.T. Jalan
mencintai Allah, merindui Allah dan sentiasa memelihara hubungan jiwa,
hati dan perasaan terhadap-Nya.
Ibnu Taimiyah R.A juga berkata perkara yang
sama, " Sungguh, di dunia ini ada Syurga, siapa yang belum memasukinya,
ia tidak akan memasuki Syurga Akhirat."
Mereka bertanya kepadanya, "Apakah itu?"
Ia menjawab, "Syurga ma'rifatullah (mengenal Allah), mahabatullah (mencintai-Nya), rindu kepada-Nya dan berlemah lembut kepada-Nya."
Hati kita sifatnya mudah berdolak balik.
Bertukar rasa dan perasaannya. Hati kita perlu ada sistem yang menjadi
peringatan yang tetap dan berkala. Jika tidak, hati itu akan menghitam,
keras, kaku, tidak bermaya dan gersang.
Bayangkan, hati itu bermaksiat. Pada
mulanya ia merasakan dirinya bersalah. Kemudian, terasa akan keseronokan
maksiat. Kemudian, hilang rasa takut bermaksiat. Tanda kemuncak
bermaksiat kepada Allah S.W.T ialah bermegah-megah dengan maksiat yang
dilakukan.
Na'uzubillahiminzalik. Mohon lindung daripada Allah S.W.T.
Tema tarbiyah tidak dapat tidak harus
berlingkaran dalam putaran ini : Tazkiyatun Nafs (penyucian jiwa),
proses pembersihan diri melalui taubat dan memberikan ancaman-ancaman
berkaitan azab neraka.
Hati perlu ditubi-tubi dengan amal soleh,
amal kebaikan dan cahaya kebersihan ma'ruf. Simbahan cahaya kebaikan
inilah menjadikan ia kembali bersih, jernih, putih dan segar. Jika tiada
bentuk tubian sebegini, hati mudah terlalai, leka, lupa dan alpa.
Saya meninggalkan jejak di pondok teduhan
ini dengan pesanan murabbi saya berkaitan hal ini, mudah- mudahan saya
adalah individu yang sentiasa menyematnya di akal, menanamnya di jiwa
dan membumikan dalam amalan.
Gagahkan dirimu untuk bangun awal di pagi
yang hening sebelum Subuh untuk mendirikan solat sunat dua rakaat kerana
ia adalah waktu yang terbaik untuk membersihkan dan menjernihkan hati.
Ketika itu, ia merupakan latihan keikhlasan, kejujuran, perhambaan dan
medan mencurahkan perasaan kepada Ilahi.
Lazimkan agenda harian di awal pagi dengan
sarapan rohani sebelum sarapan pagi. Zikrullah dengan kalimah-kalimah
menyentuh jiwa, membersihkan kotoran perasaan berdosa pada hati dan
melembutkan hati yang telah keras dan lesu. Zikir al-Mathurat adalah
zikir yang sesuai untuk diamalkan.
Pastikanlah setiap hari kita semua menatap,
membaca dan mentadabur ayat-ayat suci al-Quran sekurang-kurangnya dua
halaman. Inilah ubat penawar yang paling utama buat hati. Tiada
pengecualian bagi Mukmin sejati.
Konsisten dan istiqamahkanlah melaksanakan
ia secara berterusan setiap hari. Biarpun sedikit, tetapi keutamaan kita
adalah istiqamah pada amal soleh yang berkualiti buat hati. Wahai diri,
rasailah perbezaannya dan kenikmatannya.
Memburu kemanisan dan kelazatan Iman, ia perlu adalah kesungguhan, fokus, konsisten dan mujahadah yang tinggi.
No comments:
Post a Comment