Monday 1 May 2017

Bidang teknikal, vokasional...FPTV mampu melahirkan guru, pekerja industri dan usahawan.


KAMU mempunyai minat tinggi dalam bidang pendidikan? Jika mempunyai kesediaan dan kebolehubahsuaian menceburi bidang keusahawanan atau pekerja industri, sama ada di dalam atau luar negara apabila berhadapan persaingan tinggi untuk masuk ke bidang pendidikan masa kini, apa kata pilih kursus ditawarkan Fakulti Pendidikan Teknikal Dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Dekannya, Profesor Dr Ahmad Esa berkata, selain memiliki kelayakan minimum ditetapkan dalam permohonan UPU, paling penting ialah calon memohon perlu mempunyai kebolehan psikomotor yang lebih berbanding secara relatif dengan program pendidikan lain.
"Ini kerana asas dalam Pendidikan Teknik dan Vokasional ialah kemahiran hands on yang memerlukan penggunaan kekuatan psikomotor selain kognitif.
"Bidang pendidikan berkait rapat dengan melahirkan insan seimbang dan holistik. Calon perlu mempunyai pengurusan emosi stabil dan amalan rohani yang boleh diteladani.
"Justeru calon perlu melepasi ujian Medsi (Malaysian Educators Selection Inventory) dan temu duga bagi memastikan mereka terpilih mempunyai personaliti guru dan ciri holistik serta seimbang," katanya.
Menurutnya, FPTV menjadi pilihan penuntut kerana graduan FPTV berpeluang cerah menjadi Pegawai Pendidikan Siswazah (Guru Siswazah) di institut pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) seperti sekolah menengah harian, sekolah menengah teknik dan kolej vokasional.



Ahmad berkata, sekiranya tahun pengambilan kemasukan penuntut adalah berdasarkan unjuran ditetapkan KPM, maka graduan berpeluang ditempatkan di institusi pendidikan di bawah KPM.
"Namun bagi tahun pengambilan penuntut yang tiada unjuran, permintaan untuk mereka ditempatkan di Institusi Pendidikan KPM juga adalah tinggi. Contohnya pada 2016, FPTV telah mengeluarkan 50 graduan dan kesemua mereka dalam proses ditempatkan di kolej vokasional.
"Sambutan tinggi kalangan pemohon juga kerana kurikulum disediakan di FPTV bukan sahaja melahirkan guru, tetapi pekerja industri dan usahawan. Di samping itu juga FPTV ke arah mengeluarkan graduan guru yang boleh menabur bakti di peringkat antarabangsa seperti menjadi guru di Thailand, Maldives, Brunei dan Yaman," katanya.
FPTV menurutnya,  mendapat pengiktirafan Unesco- Unevoc dan ini merupakan kelebihan yang tiada di IPT lain yang menawarkan program sama. Pengiktirafan tersebut menjadikan segala usaha sama ada di peringkat universiti mahupun fakulti melestarikan standard kualiti graduan bertaraf antarabangsa untuk memenuhi kriteria guru TVET yang ditetapkan Unesco-Unevoc TVET selain keperluan Standard Guru Malaysia.
Selain itu, FPTV satu-satunya fakulti menawarkan Program Pendidikan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional yang mempunyai Pusat Pentauliahan, membolehkan siswa FPTV mendapat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 3, Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia.
FPTV juga adalah satu-satunya bertaraf fakulti di Malaysia yang fokus menjalankan program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (7 bidang pengkhususan).

Berteras kemahiran

Siswa Ijazah Sarjana Muda FPTV (Elektrik & Elektronik), Amzar Aizat Allias, 24, berkata, kursus ditawarkan di FPTV satu-satunya fakulti berkonsep pendidikan berteraskan kemahiran.
Jika berbicara soal peluang pekerjaan, baginya FPTV fakulti terbaik melahirkan graduan kompeten serta mampu memenuhi kehendak industri dan sektor kemahiran awam mahupun swasta.
"Apa yang menjadi tarikan pelbagai pihak adalah fokus utama pembangunan holistik terutamanya terhadap aspek pembangunan kemahiran pekerja dari sudut teknikal dan vokasional.
"Melalui pelan RMK-11, sebanyak 1.5 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan di mana 60 peratus daripadanya memerlukan kelayakan berkaitan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," kata Amzar yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2016/2017 UTHM ini.

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...