Monday 1 May 2017

KEMURUNGAN

KEMURUNGAN merupakan sejenis gangguan kesihatan mental dengan simptom utamanya iaitu tiada atau kurang mood (suasana hati) disertai oleh rasa sedih dan hilang minat dengan aktiviti harian. Kemurungan berbeza dengan mood turun naik seperti yang biasa dialami dalam kehidupan normal seharian.
Kurang/hilang mood merupakan tindakan emosi bersifat sementara terhadap cabaran kehidupan harian dan ia tidak dikelaskan sebagai kemurungan. Bersandarkan takrif tersebut, rasa sedih atas kehilangan atau kematian orang yang disayangi tidak dikelaskan sebagai kemurungan jika ia tidak berpanjangan.

Simptom

Jenis simptom dan keterukan simptom berbeza antara individu. Simptom-simptom yang dialami juga berbeza dengan perubahan masa.
Simptom-simptom kemurungan termasuklah - kesedihan berlarutan, resah dan tiada mood; rasa tiada harapan atau pesimis; rasa bersalah, rasa diri tidak bernilai atau lemah (motivasi); hilang minat/keseronokan dalam melakukan aktiviti harian termasuk hubungan biologi; kurang tenaga, lesu dan sukar memfokuskan, mengingat atau membuat keputusan.
Simptom-simptom lain ialah insomnia, mudah terjaga atau tidur berlebihan; kurang/hilang selera atau kehilangan berat badan; bertambah selera atau berat badan bertambah; berfikir untuk mati/membunuh diri atau cuba membunuh diri; rasa resah dan mudah naik angin.
Akhir sekali adalah mengalami penyakit-penyakit seperti sakit kepala, gangguan penghadaman atau sakit kronik yang sukar sembuh dan tidak bertindak kepada rawatan atau intervensi.
Jika anda mengalami sekurang-kurangnya lima simptom daripada simptom-simptom tersebut yang berlaku pada hampir setiap hari selama sekurang-kurangnya dua minggu dan ia mengganggu aktiviti harian secara ketara, maka terdapat kemungkinan anda mengalami kemurungan.

Penyebab

Sesetengah penyebab kemurungan mudah dikenal pasti namun sebahagian yang lain boleh berpunca daripada beberapa gabungan faktor. Faktor-faktor yang dipercayai menjadi penyebab kemurungan termasuklah genetik, secara biologi (perubahan paras beberapa neurotransmitter), pengaruh persekitaran dan psikologi dan sosial/psikososial.
Sesetengah individu lebih mudah mengalami kemurungan apabila terdedah kepada faktor-faktor risiko termasuklah - sesuatu yang berlaku seperti perceraian, kematian seseorang atau kemiskinan; personaliti misalnya sukar menyesuaikan diri; faktor genetik di mana saudara terdekat mengalami kemurungan meningkatkan risiko; trauma di zaman kanak-kanak; sukar mengendalikan emosi dan berpunca daripada ubatan moden terpreskripsi seperti beta-blocker, interferon atau reserpine.
Faktor-faktor risiko lain termasuklah minum alkohol secara tegar; penyalahgunaan bahan terlarang (dadah - penyebab atau memburukkan lagi kemurungan) dan pernah mengalami kecederaan di kepala.
Seseorang yang pernah mengalami kemurungan jenis berat (major) dikatakan mudah mengalami kemurungan. (Rasa) sakit kronik serta mengalami penyakit-penyakit kronik seperti diabetes, penyakit paru-paru kronik atau penyakit kardiovaskular juga boleh menjadi punca.

Gen Bukan Faktor Utama

Pada pandangan penulis, mewarisi gen kemurungan tidak semestinya menyebabkan seseorang akan mengalami kemurungan kerana pengaruh genetik adalah kecil. Sebaliknya, faktor-faktor lain dipercayai jauh lebih besar pengaruhnya.
Begitu juga dengan seseorang yang mempunyai saudara terdekat misalnya ibu/ayah yang mempunyai sejarah pernah mengalami kemurungan. Yang mempunyai pengaruh kepada pembentukan kemurungan ialah faktor-faktor lain seperti digariskan di atas. Terdapat kemungkinan ibu/ayah seseorang juga mengalami kemurungan berpunca daripada faktor-faktor tersebut.
Gangguan pencernaan seperti yang biasa dialami oleh penghidap sindrom rengsa usus (irritable bowel syndrome) kronik atau dysbiosis (ketidakseimbangan mikrobiota) juga dikatakan antara penyebab kemurungan.
Penggunaan berpanjangan beberapa jenis ubatan moden seperti statin (mengawal paras kolesterol), aspirin dan metformin (mengawal paras gula) dikatakan boleh menyebabkan dysbiosis. Dari sudut lain, paras kolesterol normal hasil penggunaan statin juga dikaitkan dengan risiko kemurungan.

Penyelesaian

Dari sudut perubatan alternatif meredakan kemurungan harus didahulukan dengan mengenal pasti punca. Jika ia berpunca daripada faktor-faktor psiko-emosi misalnya maka intervensi psiko-emosi seperti menghadiri kaunseling, berlatih berfikir secara positif dan memantapkan diri daripada segi kerohanian harus menjadi keutamaan.
Jika ia berpunca daripada ketagihan media sosial maka intervensi utama ialah interaksi berterusan ibu-bapa dengan anak-anak dengan nilai kekeluargaan seperti dikehendaki agama, sentiasa sama-sama bersolat jemaah dan menjalankan aktiviti keluarga bersama-sama.

Bahana 

Mengambil ubatan anti-kemurungan (antidepressant) dikatakan akan mengganggu pengawalan dua jenis neutransmitter iaitu serotonin dan norepinephrine - memburukkan lagi kemurungan!
Keradangan atau inflamasi yang mempunyai pelbagai punca adalah antara punca kemurungan. Elakkan punca keradangan seperti makan berlebihan dan makanan/minuman tinggi gula. Tingkatkan makanan anti-keradangan yang terdiri daripada makanan yang kaya dengan kandungan antioksidan.
Herba-herba adaptogen seperti Ashwagandha, Ginseng Siberia, Horny Goat Weed, Ruku-ruku dan Patawali (Akar Seruntun) dipercayai dapat membantu mengawal hormon-hormon stres selain mengembalikan semangat dan tenaga.
 

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...