Tuesday 16 May 2017

Tahap graduan di mata majikan

STATISTIK kadar pengangguran yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia setakat Mei 2016 adalah sebanyak 3.4%. Walaupun kadar pengangguran ini boleh dikatakan bukan berada pada tahap membimbangkan kerana di bawah 4%, tetapi ia tidak boleh dipandang enteng kerana dikhuatiri sekiranya tidak dibendung, masalah ini akan meruncing dan akan mengakibatkan gejala-gejala sosial lain. 
Terdapat banyak faktor menyumbang kepada peratusan pengangguran di negara kita ini. Salah satu faktor yang boleh dikatakan klise tetapi realistik adalah tahap kebolehpasaran (employability) graduan yang rendah.
Maka dengan itu, harus kita kupas kriteria-kriteria yang perlu ada pada seseorang graduan sebelum mereka bersedia terjun ke alam pekerjaan.
Pertama, kemahiran berkomunikasi. Kebanyakan majikan hari ini mementingkan graduan yang mampu berkomunikasi baik untuk tujuan berinteraksi dengan pelanggan, pihak pengurusan organisasi dan para pekerja di dalam organisasi.
Justeru, para pelajar digalakkan berinteraksi semasa proses pembelajaran selain disarankan terlibat dalam aktiviti kelab dalaman universiti mahupun luar kampus bagi menimba pengalaman.
Kedua, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Ramai pelajar sekadar mampu menghafal teori-teori yang diajar para pensyarah mereka. Pihak majikan dahagakan para graduan yang memiliki kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, terutama sekali semasa proses menyelesaikan masalah.
Justeru, disarankan agar para pensyarah di universiti untuk memberi latihan kepada para mahasiswa dengan kaedah kajian kes (case study). 
Ketiga, kemahiran dari segi protokol dan etika. Ia berkait rapat keprofesionalan graduan ketika menjawab panggilan telefon, cara mereka berinteraksi dengan senior, cara berpakaian dan sebagainya.
Perkara-perkara seperti dinyatakan di atas dapat diukur oleh majikan terutama sekali ketika proses temu duga kerja. Amalan protokol dan etika ini boleh dipelajari semasa para graduan belajar di universiti. 
Memandangkan peratusan graduan yang menganggur adalah tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi telah pun memperkenalkan sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA). Sistem iCGPA diperkenalkan untuk mengatasi masalah ketidaksepadanan antara kualiti graduan dan kehendak majikan. 
Memandangkan isu graduan menganggur semakin serius, kerajaan telah memperkenalkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) di mana 90 peratus daripada 100,000 peserta yang hadir dalam kursus ditawarkan SL1M berjaya mendapat pekerjaan tetap semenjak awal penubuhannya pada 2011. 
SL1M adalah program untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran atau keupayaan graduan untuk mendapat pekerjaan dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan swasta yang melaksanakan program SL1M sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Kewujudan SL1M membantu mahasiswa yang mengalami masalah tiada pengalaman bekerja kerana pihak syarikat yang akan melatih mereka sehingga para graduan dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang dikehendaki. 
Walaupun pelbagai langkah telah dijalankan kerajaan, para graduan perlu memainkan peranan masing-masing dengan merebut peluang yang ada dan menyertai program SL1M ini.
Graduan dinasihatkan untuk membina jati diri dan bersikap berlapang dada apabila melibatkan diri dengan latihan-latihan yang telah disediakan syarikat-syarikat kerana semua kos latihan ditanggung syarikat. Janganlah terlalu memilih pekerjaan dan hanya ingin bekerja mengikut program yang telah dipelajari semasa di universiti.
Cuba peluang yang ada di mana-mana dan belajar benda baharu, pasti kelak akan berjaya. Insya-ALLAH.
Kiriman: Mohd Rozaimy Ridzuan, Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...