Thursday 10 March 2016

berbuat baik pada semua

Basyar Mustapha kagum dengan mereka yang merendah diri dan tidak sombong kepada sesiapa pun tidak kira apa darjat atau latar belakang mereka.
Orang bijaksana ada memperkatakan bahawa kebaikan berkait rapat dengan watak. Integriti, kejujuran, kebaikan, kemurahan hati, moral adalah sangat penting. Malah, paling penting ialah mengetahui watak seseorang bagi memudahkan kita berinteraksi dengan orang lain.
Gen Y kali ini kongsikan kenapa kita perlu bersikap baik kepada sesiapa saja yang kita temui sama ada di dunia realiti mahupun laman sosial.
Buat orang suka
Pasti ramai yang setuju bahawa adalah senang untuk menyukai seseorang yang bersikap baik dan tidak sombong.
Kita semua mahu berkawan dengan seseorang yang baik hati, bertimbang rasa dan tidak sombong dengan apa yang dimilikinya. Ada pepatah mengatakan, jika kita mahukan seorang kenalan yang baik, kita dulu yang perlu menjadi individu yang baik. Jika kita mahu dihormati apatah lagi disukai, kita tidak harus menyombong.
Beri keyakinan dan lebih optimistik
Berbuat baik tanpa memilih kepada sesiapa boleh membuatkan kita berasa lebih yakin kepada diri sendiri dan lebih berfikiran optimistik. Diri berasa selesa dan tidak perlu memikirkan apakah akibat daripada sikap sombong kita. Ia juga membina imej diri yang positif dan kita juga akan berasa bersedia mengharungi hari yang mendatang.
Kemungkinan masa hadapan
Mereka yang kita bertembung hari ini namun tidak kita kenal mungkin menjadi seseorang yang memberi kita peluang atau memainkan peranan dalam perjalanan hidup kita pada masa hadapan. Bersikap sombong kepada orang tidak dikenali yang kita jumpa akan membuatkan kita dianggap memiliki watak negatif dan menutup peluang yang kita tidak sedar muncul pada masa hadapan.
Kebaikan berjangkit
Ada pepatah mengatakan perbuatan baik kepada orang tidak dikenali itu seakan-akan berjangkit. Ini bermaksud jika kita melakukan kebaikan tanpa memilih kepada sesiapa pun, orang lain yang melihat perbuatan kita itu akan berasa hormat pada kita dan mendapat aura positif daripada kita dan berkemungkinan akan melakukan perbuatan yang baik pada orang lain dan kitaran itu akan berterusan.
Tuntutan agama
Mana-mana agama sekalipun di dalam dunia ini menuntut penganutnya berlaku baik dan tidak sombong pada orang lain. Islam terutama­nya mengajak umatnya berlaku baik, adil dan bertoleransi kepada orang lain tanpa mengira latar belakang, darjat atau keturunan seseorang itu.
Bayangkan jika diperlakukan buruk
Sebenarnya tidak sukar untuk meyakinkan kita supaya berlaku baik pada orang lain. Bayangkan diri kita diperlakukan dengan buruk oleh orang lain yang kita tidak kenali. Jika kita cuba bertanya soalan, meminta pertolongan mudah atau hanya bertembung, jika orang lain itu bersikap sombong dan buruk kepada kita, pasti kita akan sedih dan teraniaya, malah hairan kenapa mereka bersikap begitu. Pasti juga kita tidak mahu diperlakukan begitu kerana sehina mana pun kita pada orang lain, kita berhak dihormati dan diperlakukan de­ngan cara yang betul begitu juga orang lain yang kita tidak kenal yang cuba berinteraksi de­ngan kita.

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...