Monday 21 March 2016

LANGKAH-LANGKAH PENJAGAAN SEMASA CUACA PANAS MELAMPAU






Sudah beberapa hari cuaca begitu panas luarbiasa. Kemungkinan besar fenomena El-Nino yang dijangkakan berlaku telah bermula. Oleh itu kita perlulah bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi cabaran dan dugaan yang belum pasti seteruk manakah nanti kesannya. 

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan satu nasihat kesihatan bagi memberi amaran dan panduan awal untuk kita menjaga kesihatan disepanjang cuaca panas yang akan melanda ini. Semoga ianya dapat dijadikan rujukan untuk kita menjaga kesihatan diri. 


Cuaca Panas : Nasihat Kesihatan Kepada Orang Ramai

Cuaca panas memberi tekanan fizikal kepada tubuh manusia. Kesan terhadap kesihatan boleh jadi dari tahap sederhana (mild) kepada yang boleh menyebabkan maut contohnya akibat strok haba.

Semua orang berisiko menjadi mangsa cuaca panas. Walau bagaimanapun, terdapat kumpulan yang lebih berisiko:
  • Mereka yang terbabit dengan kegiatan aktiviti fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.
  • Orang dewasa (berumur 40 tahun ke atas mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding dengan mereka yang lebih muda).
  • Kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah.
  • Penghidap penyakit sistem pernafasan.
  • Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid.
  • Risiko bertambah jika mereka memakai pakaian yang tebal dan ketat yang menghalang haba keluar daripada penyejatan/ pengeringan peluh.

Gejala cuaca panas melampau adalah :
  • Sakit kepala
  • Keletihan
  • Lemah tumpuan
  • Pening
  • Lemah otot–otot atau kekejangan
  • Mual dan muntah
  • Keadaan yang terlalu teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kekeringan), kekeliruan dan tidak sedarkan diri (koma).
Cara mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas melampau:
Anda Perlu :
  • Minum air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang anda lakukan. Jangan tunggu sehingga anda dahaga.
  • Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh.
  • Sejauh yang mana yang boleh, anda perlu berada di dalam rumah/bangunan
  • Hadkan aktiviti luar
  • Kerap berehat
  • Mandi atau gunakan kipas angin untuk menyejukkan tubuh badan anda
  • Pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang dan longgar.
  • Pakai topi atau payung yang besar
Elakkan:
  • Minum minuman yang mengandungi kafein, alkohol, atau kandungan gula yang tinggi.
  • Membiarkan seseorang di dalam kereta yang tertutup.
  • Bersenam dalam cuaca panas

Jika anda mempunyai tanda-tanda masalah berkaitan dengan suhu panas, ingat tip-tip di bawah ini;
  • Keluar dari kawasan yang panas
  • Tanggalkan pakaian yang ketat
  • Letakkan kain yang basah dan sejuk pada badan
  • Gunakan kipas untuk sejukkan badan
  • Minum air setiap 15 minit
  • Dapatkan bantuan jika keadaan tidak dapat dikawal

Semoga cuaca panas yang melanda ini tidaklah seteruk yang dijangka, namun kita harus sentiasa bersedia dan menjaga kesihatan diri. Jadikan nasihat dari Kementerian Kesihatan Malaysia ini sebagai panduan untuk diri dan keluarga kita. 

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...