Saturday 13 February 2016

Bersangka Baik pada manusia

  Artikel ringkas ini sekadar renungan bersama dan semoga kita dapat mengambil manafaat serta memberikan informasi semasa kepada kita sebagai manusia yang sentiasa alpa.
CUKUP HANYA SEKALI!    

“Sebelum mengharap Allah menilai kita dengan baik… didiklah diri menilai orang lain dengan baik terlebih dahulu. Yang penting bukan siapa yang kita lihat tetapi ‘siapa kita’ ketika melihatnya!”  Maksudnya, kita akan menilai seseorang dengan fikiran, hati dan perasaan kita. InsyaAllah, jika kita dapat melihat sisi baik pada diri seseorang itu petanda fikiran, hati dan perasaan kita juga baik. Syukurlah. Namun, jika sebaliknya, berhati-hatilah… itu petunjuk akan kejahatan diri kita bukan orang yang kita lihat.

Begitulah dalam hidup ini, kita mesti memulakan kebaikan daripada diri kita sendiri. Caranya? Bermula dengan sangka baik. Lihat yang baik-baik. InsyaAllah, lama-kelamaan kita akan jadi baik dan mendapat kebaikan. Pernah diceritakan bagaimana pada suatu ketika Nabi Isa AS melalui seekor bangkai kambing bersama-sama para pengikutnya. Ketika para pengikutnya, memalingkan muka dan menutup hidup kerana jijik dan terhidu bau busuk, Nabi Isa sebaliknya berkata, “aku lihat bangkai kambing ini mempunyai gigi yang putih.”

Mengapa penting kita bersangka baik dalam hidup? Ini kerana itu akan menentukan bagaimana kita melihat atau menilai sesuatu perkara, seseorang atau kejadian.  Dan bagaimana kita melihat akan sesuatu atau seseorang, akan menentukan apa yang akan kita dapat daripadanya. Ungkapan terkenal dalam bahasa Inggeris, “ what you see, is what you get – apa yang kita lihat, itu yang akan kita dapat.”
Jika kita ingin kebaikan dalam interaksi dan komunikasi daripada seseorang, bermulalah dengan bersangka baik kepadanya. Mana mungkin kita akan mendapat apa yang baik-baik daripada jika kita mula dan terus bersangka buruk kepadanya. Jangan ‘menghukum’nya awal-awal lagi. Itulah préjudis. Satu sikap yang negatif yang merosakkan perhubungan yang baru bermula atau yang telah lama terjalin. Tidak sewajarnya kita merasa tidak suka akan seseorang tanpa asas yang kukuh dan jelas.

Orang yang sibuk ‘menghukum’ tidak akan sempat memberi kasih sayang. Begitulah yang pernah diungkapkan oleh orang yang bijak pandai. Kekadang, belum pun mula berkenalan, apalagi bercakap-cakap… baru melihat wajahnya sahaja, terus hati terdetik akan keburukan dan kelemahannya. Acapkali kita menghukum orang lain dengan ‘fail’ lama, sedangkan mungkin dia telah berubah. Mahukah kita kalau dihukum dengan kesalahan yang kita telah kita perbaiki berkali-kali?
 
Ya Allah, jahatnya hati kita. Siapa kita? Hamba, tuan atau Tuhan? Dengan ilmu dan maklumat yang sangat terbatas kita berani melampaui batas seorang hamba Allah, yang kaya dengan kelemahan dan kejahilan. Tuhan yang Maha Sempurna itupun pun tidak kejam. Allah Maha Adil, Maha Sayang… sentiasa membuka ruang untuk hambaNya memperbaiki diri dan membuka ‘fail’ baru. Bukankah selepas Ramadan yang Mubarak, Haji yang Mabrur… seseorang dijanjikan bersih dari segala dosanya yang lampau lalu menjadikannya seperti seorang  bayi yang baru dilahirkan?

Justeru, Allah SWT dengan tegas melarang kita bersangka buruk sesama manusia.  Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”

Ada orang yang sering mengeluh, malah mengutuk nasib dirinya yang malang, “mengapa yang buruk-buruk, sedih, gagal dan malang sering menimpa hidupku?” Lalu sibuklah dia menyalahkan sipolan dan sipolan, itu dan ini… semuanya tidak kena. Padahal, yang tidak kena itu acap kali dirinya sendiri. Dia yang memandang gelap, buruk dan busuk dalam hidup… lalu dia terpaksa menuai apa yang disemai!

Saya teringat satu cerita lucu bagaimana seorang perompak yang telah merompak  sebuah rumah. Kejadian itu disedari oleh tuan punya rumah yang tidur di tingkat atas. Walaupun begitu dia tidak berani melawan kerana perompak itu bersenjata. Cuma sebelum perompak itu keluar dengan barang-barang rompakannya, tuan rumah berkata, “ sebelum kamu pergi jenguklah isteri saya yang berada di tingkat  atas… dia telah menunggu kamu selama 15 Tahun.”
Apa maksudnya lelaki itu? Maksud lelaki itu, selama 15 tahun isterinya dalam keadaan bimbang, takut dan sentiasa bersangka buruk yang rumah mereka akan dirompak. Dan kali ini apa yang disangkanya itu telah benar-benar telah terjadi. Ya, walaupun itu sekadar sebuah cerita… tetapi realitinya memang berlaku dalam hidup ini.

Allah mengingatkan kita melalui sebuah hadis Qudsi: “Aku bertindak sebagaimana sangkaan Hamba-Ku. Dan Aku akan selalu bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku didalam dirinya, Aku mengingatinya dalam diriku. Apabila dia mengingatiku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk).”

Namun, perlu diingat bahawa sangka baik perlu diimbangi oleh sikap berhati-hati. Sepertimana perlunya bersangka baik, begitulah juga kita perlu berhati-hati. Jangan lurus bendul. Kita mesti bijak agar sifat sangka baik itu tidak dieksploitasi dan dimanupulasi oleh musuh atau orang yang berkepentingan. Apa itu sikap berhati-hati? Itulah usaha kita mencari fakta, dalil, ilmu dan bukti yang berkaitan dengan seseorang, sesuatu perkara atau peristiwa.
Sikap berhati-hati juga dibina oleh pengalaman. Apabila ilmu, fakta, dalil dan pengalaman bergabung maka terbinalah sikap matang dalam bersangka baik. Kita bersangka baik, tetapi tidak mudah untuk ditipu dan dikhianati. Sikap berhati-hati dan belajar daripada pengalaman ini sangat penting agar sikap bersangka baik kita tidak diputar-belitkan, dikhianati dan diperalatkan oleh orang yang berniat jahat.

Jika kita berdepan dengan seseorang yang sudah punya rekod buruk, reputasi negatif serta kita pernah mengalami pengalaman-pengalaman yang pahit akibat angkaranya, jangan bersangka buruk… tetapi berhati-hati. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Berilah peluang untuk dia dipercayai, dan pada kita sendiri untuk mempercayainya… namun jangan jatuh dalam ‘lubang’ yang  sama dua kali atau berkali-kali. Ingatlah pesan Nabi: Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali!”

Bacaan Terbaik Hari Jumaat

Telah menjadi rutin masyarakat Melayu Islam mengamalkan surah Yassin pada malam Jumaat tetapi masih ramai yang tidak mengetahui bahawa surah Al-Kahfi mempunyai banyak maanfaat/fadhilat yang sangat baik dikhususkan utk bacaan pada Hari Jumaat (bermula lepas Maghrib hari Khamis sehingga ke Solat Jumaat).

“Sesungguhnya barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya ia akan diterangi oleh cahaya antara dua Jum’at.” (HR Hakim 3349)

Daripada Muaz Ibnu Anas Al-Juhari, daripada bapanya, daripada Nabi SAW baginda bersabda:
“Sesiapa membaca dari Surah Al-Kahfi, maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca keseluruhannya, maka jadilah baginya cahaya antara langit dan bumi.” (HR Ahmad)

Daripada Umar beliau berkata, Nabi SAW telah bersabda:
“Sesiapa membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit, untuknya di hari kiamat dan diampunkannya antara dua Jumaat.” (HR Ibnu Katsir)

Rasulullah saw bersabda:“Maukah aku tunjukkan padamu suatu surat yang diikuti oleh seribu malaikat ketika diturunkan, dan keagungannya memenuhi antara langit dan bumi?” Sahabat menjawab: Mau. Rasulullah saw bersabda: “Surat Ashhabul Kahfi. Barangsiapa yang membacanya pada hari Jum’at, Allah akan mengampuni dosanya sampai Jum’at berikutnya dan ditambah tiga hari, diberi cahaya yang mencapai ke langit, dan akan terjaga dari fitnah Dajjal.” (Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn 3: 243)

Rasulullah saw bersabda:“Barangsiapa yang menjaga sepuluh ayat dari surat Al-Kahfi, ia akan memiliki cahaya pada hari kiamat.” Hadis ini bersumber dari Abu Darda’ dari Nabi saw. (Tafsir Nur Ats-Tsaqalayn 3: 243)
Daripada al-Barra ra katanya: Di kala seorang lelaki membaca surah al-Kahfi, tiba-tiba ia melihat binatang peliharaannya berlari dan ia melihat bagaikan sekumpulan mega atau awan, lalu ia datang menemui Rasulullah SAW dan menyebutkan mengenainya kepada Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Itu adalah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bersama al-Quran atau turun di atas al-Quran”. (al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)

Dalam surah al-Kahfi, diceritakan tentang kisah Ashaabul Kahfi (pemuda-pemuda beriman), kisah Nabi Musa as dan Nabi Khidir as serta kisah Dzulkarnain dan Ya’juj dan Ma’juj. Dalam beberapa hadis, Rasulullah SAW menggalakkan kita agar membaca dan menghafal surah ini kerana dengan membacanya dapat menghindarkan diri dari fitnah (musibah).

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya:
Hadith yang diriwayatkan dalam musnad Ahmad, Sahih al-Bukhari dan Muslim bahawa al-Bara bin `Azib menceritakan seorang sahabat yang bernama Usaid bin al-Khudair telah membaca surah ini di rumahnya, sehingga akhirnya kuda di rumahnya meronta-ronta. Lalu sahabat ini telahpun meninjau keluar rumahnya lalu didapatinya di luar rumah ada sekumpulan awan berdekatatn kudanya, lalu ditanya kepada Nabi s.a.w maka baginda telah menjelaskan itulah dia as-sakinah yang diturunkan Allah kepada orang yang mengamalkan membaca surah ini.

Nabi s.a.w amat menggalakkan umat baginda agar menghafaz surah ini. Sebagai contohnya sesiapa yang menghafaz 10 ayat yang awal daripada Surah al-Kahfi akan selamat dari gangguan Dajjal seperti yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Dawud, al-Nasa`ei dan al-Trimizi. Dalam riwayat al-Tirmizi:”Sesiapa yang menghafaz tiga ayat yang awal dari surrah al-Kahfi”.
Hadis lain, diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dan dianggapnya sahih isnad, maksudnya: “Sesiapa yang membaca al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya Allah akan mengurniakan baginya nur antara Jumaat tersebut hingga ke Jumaat yang seterusnya.” Hadis ini dinilai sebagai hasan, kata al-Albani.

Di dalam surah al-Kahfi ini terkandung isyarat penting mengenai hari akhirat, sepertimana yang dipelajari daripada kisah-kisah yang dipaparkan iaitu pengalaman Ashabul Kahfi yang tinggal dalam sebuah masyarakat yang kufur kepada Allah SWT, Nabi Musa as yang banyak belajar daripada Nabi Khidir as dan tentang sebuah pemerintahan dalam kisah Dzulkarnain, yang kesimpulannya dapat memberikan kita pengertian tentang nilai-nilai keimanan yang sebenar.

Kandungan Utama Surah Al-Kahfi
1. Hikayat Sohibul Kahfi (pemuda2 beriman)
2. Kisah Nabi Musa & Nabi Khidir AS
3. Kisah Zulkarnain dan Ya’juj & Ma’juj

Moga kita dilindungi daripada Fitnah Dajjal & mendapat Nur di akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...