1. Mulakan hidup anak-anak dengan panggilan yang baik – apabila
anak-anak diberi nama dan panggilan yang baik, secara tidak langsung ia
turut mempengaruhi dan memberi kesan yang baik dalam perwatakan dan
kelakuan anak-anak. Nama yang baik juga turut dituntut dalam Islam.
2. Berikan anak-anak pelukan setiap hari – terdapat kajian yang
menyatakan bahawa anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan
IQ yang lebih kuat berbanding anak yang jarang dipeluk. Apabila
anak-anak dipeluk, mereka akan sedar bahawa ibu bapa sayangkannya.
Anak-anak juga akan tahu bahawa ibu bapa sentiasa menjadi penyokong
mereka.
3. Pandanglah anak-anak dengan penuh kasih sayang – pandangan ini
akan membuatkan anak-anak berasa lebih yakin kepada diri sendiri apabila
berhadapan dengan persekitaran. Marah itu memang perlu supaya anak-anak
tahu mana yang salah dan mana yang betul, namun kawallah marah,
janganlah pula sehingga anak-anak menjauhkan diri dan berasa takut.
4. Berikan penghargaan di atas setiap kebaikan – tidak semestinya
hanya dengan pemberian hadiah, malah senyuman, pujian dan pelukan sudah
cukup untuk membuat diri anak-anak terasa dihargai. Sekurang-kurangnya
dengan penghargaan ini dapat dijadikan sebagai satu motivasi bagi
anak-anak untuk melakukan lagi dan melakukan yang terbaik.
5. Jangan mengharap lebih daripada apa yang anak-anak mampu lakukan –
sedarlah bahawa anak-anak masih dalam proses perkembangan dan janganlah
mengharapkan anak-anak akan berbuat sesuatu kebaikan secara berterusan
kerana melakukan kesilapan merupakan proses untuk anak-anak belajar.
6. Antara masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga – utamakan
keluarga kerana apabila adanya masalah, selesaikan masalah keluarga
terlebih dahulu. Seseorang hanya akan tenang apabila tiada masalah
keluarga. Anak-anak tetap diutamakan kerana mereka sedang membesar dan
proses ini akan terus berlalu tanpa kembali lagi. Ibu bapa tidak
seharusnya bersikap mementingkan diri bagi menjaga keperibadian yang
baik untuk dijadikan role model bagi anak-anak.
7. Jangan mengeluh dalam mendidik dan membesarkan anak-anak – ini
bagi mengelakkan anak-anak merasa diri mereka sebagai beban terhadap ibu
bapa. Ini juga supaya anak-anak tidak berasa jauh dan sunyi dari ibu
bapa.
8. Dengar cerita anak-anak – tidak dinafikan anak-anak memang suka
bercerita. Dengarlah cerita mereka kerana sedarlah bahawa ibu bapa tidak
akan dapat mendengar cerita itu lagi pada masa akan datang. Melayan
anak-anak bercakap dan bercerita merupakan sesuatu yang sangat
menyenangkan. Ianya juga hiburan yang takkan dapat dibeli.
9. Tenangkan anak-anak setiap kali mereka memerlukannya – ada masanya
anak-anak akan berasa sedih di atas banyak perkara.Bergaduh dengan
kawan sekelas, tercederakan anak jiran. Pada masa inilah ibu bapa
membantu menyelesaikan masalah anak-anak supaya mereka tidak merasa
keseorangan. Ibu bapa perlu membantu kerana walaupun masalahnya kecil,
namun bagi anak-anak masalahnya sangat besar.
10. Tunjukkan kepada anak-anak cara untuk menenangkan diri – setiap
masalah ada jalan penyelesainnya. Ibu bapa seharusnya bersikap tenang
apabila berhadapan dengan sebarang masalah untuk menjadi ikutan kepada
anak-anak dan tidak bersikap tidak tentu arah.
11. Buat persediaan menyambut hari jadinya – tidak semestinya dengan
menyambut secaran besar-besaran, sudah memadai dengan menyediakan hadiah
yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuat anak-anak
belajar menghargai. Anak-anak yang datang dari persekitaran yang
menghargai akan mampu untuk belajar menghargai orang lain.
12. Mengajar anak-anak lebih dari sekali – ada sesetengah anak-anak
yang perlu diajar secara berkali-kali barulah mereka dapat memahami
sesuatu dengan baik. Jadi, jangan marah terhadap mereka apabila
bertanyakan tentang sesuatu hal yang sama berulang kali. Ini bagi
mengelakkan proses pembelajaran anak-anak terbantut.
13. Luangkan masa bersama anak-anak – ini bukan sahaja terhad di
dalam rumah,malah turut meluangkan masa di luar.Sama ada bersiar-siar
ataupun berkelah di hujung minggu. Peganglah tangan anak-anak apabila
berjalan bersama. Anak-anak akan merasa kepentingan diri mereka dalam
hidup ibu bapa. Memimpin tangan anak-anak tidak terbatas semasa di luar
rumah sahaja, malah apabila anak-anak bangun tidur, ke meja makan, malah
ke dapur untuk membancuh susu mereka.
14. Dengar mimpi ngeri anak-anak – mimpi ngeri akan menjadi begitu
realistik dalam dunia mereka walaupun itu hanyalah sekadar mimpi. Tidak
ada salahnya mendengar cerita mimpi ngeri anak-anak kerana ianya
diceritakan secara langsung, tiada skrip, tiada pengarah dan tiada
siaran ulang tayang.
15. Hargai permainan kesayangan anak-anak – apabila permainan
kesayangan mereka dihargai,dalam masa yang sama juga anak-anak akan
menghargai barang-barang kesayangan ibu bapa. Walaupun sudah rosak,
elakkan daripada membuang permainan kesayangan anak-anak. Mintalah
kebenaran daripada mereka terlebih dahulu.
16. Berikan ciuman selamat malam – jangan biarkan anak-anak tidur
tanpa ciuman selamat malam. Biasakan anak-anak dengan salam sebelum
masuk tidur. Selimutkan, dan cium dahinya apabila mereka sudah lena.
17. Terimalah hakikat kadangkala ibu bapa tidak sempurna – bagi
mengelakkan stress, jangan terlalu berfikir untuk menjadi ibu bapa yang
sempurna dari semua aspek. Apabila terdengar anak-anak berkata ‘papa ni
garanglah’. Itu teguran sebenarnya. Jadi, tidak salah untuk berubah demi
kepentingan anak-anak dan bagi mngelakkan anak-anak berasa rendah diri
kerana merasakan ibu bapa terlalu sempurna.
18. Janagan membawa bebanan kerja ke rumah – apabila ini berlaku,
anak-anak akan menganggap bahawa kerja lebih penting daripada keluarga.
Utamakanlah keluarga ketika berada di rumah. Ibu bapa juga boleh
membantu untuk menyiapkan kerja sekolah anak-anak ataupun memberi
latihan di rumah.
19. Anak-anak menangis – menangis merupakan cara anak-anak untuk
melegakan keresahan mereka dan kadangkala untuk mendapatkan perhatian.
Walauapapun sebabnya, dengarilah tangisan mereka supaya mereka tidak
menjauhkan diri dari ibu bapa di kemudian hari.
20. Anak-anak juga mempunyai perasaan – seperti ibu bapa,anak-anak
juga mempunyai perasaan. Hargailah perasaan anak-anak supaya anak-anak
juga menghargai perasaan ibu bapa.
- Berdoalah agar anak-anak menjadi penyejuk mata dalam kehidupan dan sebagai penenang hati di dunia dan di akhirat kelak -
Semoga Aisyah menjadi anak yang sentiasa mendoakan ibu bapanya. Amin!
No comments:
Post a Comment