Sebagai ibu bapa, pasti ada yang pernah mengeluh sebegini. Perkara ini memang biasa terjadi, lebih-lebih lagi sekiranya anak anda sudah boleh bercakap, berfikir dan menilai (walaupun penilaian berdasarkan tahap peringkat umur mereka sahaja).
Kanak-kanak dalam lingkungan umur hingga tujuh tahun memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’.
Apa yang berlaku adalah ketiadaan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak. Di samping itu, kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya, perhatian mereka hanya tertumpu dalam permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.
Justeru, sekiranya anak anda degil, sering memberontak, membaling barang dan memusnahkan permainan, siapakah yang bersalah?
Sudah tentu orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak. Berikut ada beberapa panduan yang boleh digunakan bagi menangani anak sebegini.
- Cuba fahami bahasa anak anda dengan bertanya secara lembut kepadanya. Sebaiknya tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan sama ada sedang memasak atau membasuh baju dan berikan perhatian kepada anak.
Berapa kali dalam sehari kita bertentang mata dengan ank? Perhubungan mata sangat penting dalam apa jua jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil. Ingatlah, kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.
- Sebaik sahaja anda pulang bekerja dan mengambil anak anda dari pusat jagaan kanak-kanak, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur untuk memasak atau mengangkat kain di ampaian.
Bermain-main dengannya kira-kira setengah jam, barulah anda minta diri ke dapur. Mudah-mudahan dia akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya sudah diperolehi.
- Ajarkan anak dengan perkataan ‘tunggu sebentar boleh’ sekiranya anak perlukan sesuatu dan anda tidak dapat melakukannya kerana sedang sibuk di dapur.
Ingatlah, anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.
- Cuba fahami personaliti anak anda. Setiap anak dikurniakan Allah dengan personaliti tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai inginkan perhatian.
Sekiranya anak suka menjerit, anda boleh meminta dia menjerit di dinding berulang kali sehingga dia letih. Mungkin dia akan berhenti menjertit atau membuat perangai beberapa hari.
Sekirnya dia mengulanginya semula, anda suruh dia lakukan perkara yang sama sehingga dia berhenti. Berikan dia hadiah sekiranya anda dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam sehari. Katakan padanya, ‘Mama berikan hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini’. Dengan ini, anak akan faham bahawa ibu bapa tidak menyukai perbuatan itu.
- Sentiasa ingatkan diri anda mengenai sifat positif anak yang keletah dan karenah anak yang menghiburkan.
Anda juga boleh berbuat demikian setengah jam setelah anak anda sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan anda kepadanya.
Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibu bapa yang membuat peraturan, disiplin dan galakan kepada anak.
- Periksa siapa yang biasa ditemui anak-anak anda setiap hari. Sekiranya anda menghantar ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah itu (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh).
Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.
- Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras.
Anak-anak pada usia ini tidak ‘makan’ dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka.
Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak serta dakap, peluk, cium, sayang dan dudukkan anak di atas pangkuan, berilah nasihat secara hikmah.
Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat itu salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.
No comments:
Post a Comment