Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani,
Malam ini, lelaki itu sunyi. Jalan bersendirian di atas lantai hitam.
Atmosfera gelap menyelimuti cahaya. Yang tinggal hanya cahaya bintang
dan bulan. Lebih tepat, angin turut bertiup enak, membelai rambut lelaki
yang kusut masai .
Terbit rasa ingin tahu. Rindu kepada secebis dirinya. Secebis yang
bisa memberikan lelaki itu sebuah perasaan bahagia yang bukan biasa.
Rumit untuk diterangkan dan dihuraikan. Bahagia yang mampu
menyempurnakan agama. Itu mungkin cukup penjelasannya .
Namun, lelaki itu tidak tahu, tidak tahu ke mana hilangnya cebisan
itu. Mungkin lebih tepat , lelaki itu tidak tahu pun segala tentang
cebisan itu melainkan tuhan yang maha mengetahui. Redha.
Lelaki itu berjalan perlahan, berteduh di bawah bumbung yang
bercahaya. Meraba-raba pemandangannya, mencari cebisan yang entah
bagaimana rupanya. Secebis yang bisa memberi perasaan bahagia yang
menyempurnakan agama lelaki itu.
Lelaki itu mula memberi pandangan pertama .
Cebisan bertudung merah jambu. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.
Cebisan berambut perang kemerahan-merahan. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.
Cebisan berkaca mata comel. Pandangan kedua lelaki itu melekat ke bumi.
Susur keluar diatur. Kembali ke atmosfera gelap. Buntu. Entah
bagaimana rupa cebisan yang mampu memberi perasaan bahagia buat lelaki
itu sepanjang hidupnya.
Cebisan yang boleh memberikan lelaki itu satu lagi perasaan yang
ikhlas memberikan setia mengikat janji tuhan. Degupan jantung cebisan
yang mampu memberi nyawa untuk senyum bersama lesung pipit sebelum
dipanggil tuhan. Rindu lagi.
Lelaki itu mula melukis hikayat di hatinya. Berdakwatkan rindu dan
berkanvaskan harapan. Baring di atas lantai hitam, mencuit
bintang-bintang yang terapung menyebarkan cahaya kecilnya yang bisa
memberi zikir kepada tuhan.
Perempuan bertudung putih membawa si bunga yang cantik berlatarkan
anjung luar rumah. Wajahnya samar-samar. Memegang bunga putih sambil
tunduk dibawah bintang-bintang yang bergemerlapan. Hikayat seorang
perempuan yang berkisahkan rindu menanti cebisan juga yang mampu memberi
perasaan bahagia yang bisa menyempurnakan agamanya.Dakwat rindu masih basah lagi. Harapan masih luas lagi. Namun,
perasaan bahagia itu tersangkut dek kerana cebisan itu kurang jelas
wajahnya. Bersangka baik dengan tuhan. Pastinya, ini adalah salah satu
seni kebaikan tuhan yang agung.
Tak perlukan si cantik rupawan, cukup sekadar memberi lelaki itu senyum berlesungkan pipit .
Tak perlukan si kaya raya, cukup sekadar bermewah dengan bersusah payah bersama lelaki itu .
Tak perlukan si cerdik pandai, cukup sekadar bergeliga merendahkan diri menghias kebaikan kepada lelaki itu .
' Aku rindu. Aku teringin memandang tepat ke mata mu tanpa ada lagi
pandangan kedua. Ingin sekali aku menyentuh hati mu dengan
kalimah-kalimah bahagiaku. Samar-samar wajahmu, akanku tajamkan
penglihatan ku meneroka seluruh benua, agar wajahmu lebih jelas di
potret hatiku. Biarkan aku mengembara mencari dirimu yang hilang. Pasti
aku mahu kuatkan hatiku bagi membiarkan kau turut derita dengan rinduku.
Yakin aku berikan hatiku untuk kau rangkul dengan hangat , setia
menyambut tanganku berjalan ke taman syurga yang kekal abadi . '
Harapan seorang lelaki itu, sebaik sahaja hikayat itu dilukis, wajah
cebisan itu semakin kurang samar-samarnya. Kuat keinginannya untuk
lelaki itu berikan hati yang bisa mencipta bahagia yang dijanjikan
tuhan. Semoga cebisan itu dibisik dengan perasaan yang bahagia ketika
ini, entah tidak tahu benua mana arahnya. Tuhan sahaja lebih maha
mengetahui .
oh tuhan , makbulkanlah doa hamba itu.
- Artikel iluvislam.com
No comments:
Post a Comment