Tuesday 7 March 2017

PENYALAHGUNAAN dadah


PENYALAHGUNAAN dadah merupakan salah satu gejala sosial yang boleh merosakkan akal, minda, kesihatan tubuh badan serta memberikan ancaman kepada keselamatan dan masa depan negara. Bagi mencapai negara maju menjelang 2020 iaitu untuk mewujudkan rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan kehidupan rakyat berkualiti tinggi serta ekonomi yang maju, gejala penyalahgunaan dadah ini perlu dibanteras habis-habisan. Ia memerlukan kerjasama yang berterusan daripada agensi-agensi kerajaan dan semua lapisan masyarakat.
Isu dadah dalam kalangan belia bukanlah sesuatu yang baru. Namun, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibanteras tanpa menyelami hakikat trend dan gaya hidup belia masa kini. Mengikut statistik pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi tahun 2015, seramai hampir 16,000 orang penagih, iaitu 70 peratus daripada populasi penagih dadah adalah dalam kalangan belia.
Belia merupakan sasaran utama bagi membendung gejala ini daripada berterusan. Pelbagai usaha perlu dijalankan oleh belia agar dapat menghindarkan diri daripada gejala ini. Namun, sejak kebelakangan ini keterlibatan golongan belia dalam pelbagai masalah sosial kian berleluasa bermula daripada kes-kes jenayah kecil seperti meragut, seterusnya kepada penglibatan dalam masalah sosial yang lebih besar seperti penagihan dadah, pembuangan bayi, pembunuhan dan kes rogol. Masalah ini berpunca daripada sikap agresif dalaman yang tidak dikawal dengan sebaiknya, kurangnya penghayatan terhadap agama, timbulnya pemberontakan emosi dan jiwa serta desakan untuk mencari ketenangan. Kesan seterusnya adalah kemusnahan pewaris pemimpin masa hadapan serta melemahkan keselamatan negara.
Menurut satu kajian, lebih dua pertiga daripada individu yang terlibat dalam penagihan dadah adalah terdiri daripada golongan belia, tidak terkecuali juga belia di institusi pengajian tinggi (IPT). Keterlibatan sebilangan besar belia dalam penyalahgunaan dadah adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana di bahu mereka bakal terbentuknya pemimpin pada masa akan datang.
Oleh itu, golongan belia seharusnya mempunyai pakej yang lengkap bukan sahaja mempunyai daya intelektual yang tinggi bahkan seimbang daripada sudut emosi, sahsiah dan mantap kerohaniannya.
Bertolak daripada isu dalam kalangan belia ini, Pusat Penyelidikan Dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (Acreda) yang terletak di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) mengambil inisiatif menganjurkan satu bengkel pada 4 hingga 8 Februari lalu iaitu International Workshop on Empowering Youth for Drug-Free Community 2017 (iEYDFC 2017) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Asia Pacific University-Community Engagement Network (Apucen).  
Atas dasar ini, pihak Usim dan UUM begitu komited dalam menangani isu belia dan penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing. Selain itu, penglibatan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai penganjur bersama telah meletakkan program iEYDFC 2017 ini sebagai pelaksanaan salah satu program National Blue Ocean Strategy (NBOS) dalam Dasar Dadah Negara, sekali gus memerangi dadah habis-habisan. Manakala penglibatan peserta dalam kalangan belia adalah kerana golongan ini sangat berisiko tinggi untuk terlibat dengan ancaman bahaya dadah.
Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan kepada para belia untuk berhadapan individu-individu yang terlibat permasalahan dadah dan kaitannya dengan isu gelandangan, permasalahan sosial dan kerjaya sebagai faktor risiko dan faktor pelindung yang menjadi pemangkin kepada kelestarian sistem sosial yang harmoni.
Selain itu, aktiviti program ini lebih bercorak outreach ke lapangan seperti memberi khidmat bakti dan sumbangan berbentuk informasi tentang pencegahan dadah kepada masyarakat dan belia, khususnya untuk generasi akan datang. Ia memberi penekanan bahawa aktiviti kerohanian, kebudayaan dan kemahiran warisan budaya berperanan sebagai faktor pelindung yang mampu membantu peserta menjauhkan diri dari gejala penyalahgunaan dadah.
Di antara aktiviti yang diadakan adalah  forum belia, program turun padang bersama belia, menyelami permasalahan akar umbi belia kawasan Felda serta khidmat masyarakat bersama penduduk setempat. Pendekatan bercorak turun ke lapangan sebenar dilihat lebih efektif berbanding penganjuran program bercorak ilmiah semata-mata kerana ia sesuai dengan gaya hidup belia yang aktif dan berkehendakkan cabaran.
Program ini mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak. Sebagai belia yang mempunyai daya saing serta rasa tanggungjawab sosial, program ini dilihat mampu dijadikan batu loncatan ke arah bersama-sama mengambil kisah dan peduli kepada permasalahan ini.
Kestabilan negara akan datang terletak di tangan belia masa kini. Dengan adanya belia yang mampu membantu dalam usaha murni ini, ia dilihat satu petanda positif ke arah mencapai negara maju yang bebas daripada gejala dadah.

Kiriman: Mohamad Reezal Shamsuddin
Pelajar Sarjana Kaunseling dalam Penyalahgunaan Dadah (Spada)
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...