ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah SWT, kita dipertemukan sekali lagi
dengan bulan Ramadan al-Mubarak. Salam Ramadan dan selamat berpuasa saya
ucapkan khusus buat semua Muslimin dan Muslimat khasnya yg membaca tulisan ini
Harapan saya, semoga anda menepati syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak sama-sama menjalani ibadah puasa pada hari ini.
Puasa pada bulan Ramadan ini mula diwajibkan pada tahun kedua Hijrah
menerusi ayat 183 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Wahai orang yang
beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang
dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Berdasarkan ayat ini, jelas sekali pensyariatan puasa bertujuan untuk
meningkatkan ketakwaan malah kecemerlangan diri kita sebagai hamba
kepada-Nya.
Kecemerlangan peribadi
Sama ada disedari atau tidak, ketika sebelum Ramadan, tidak ramai yang arif tentang masuknya waktu solat Maghrib.
Rata-rata menyedari waktu Maghrib tamat ketika slot berita
ditayangkan di kaca televisyen. Berbanding ketika Ramadan, hampir
segenap lapisan masyarakat maklum tentang masuknya waktu Maghrib yang
juga waktu berbuka puasa.
Paling penting, kita menjadi seorang yang terlalu menepati masa. Azan
belum lagi berkumandang, segala hidangan telah tersedia. Ketika lafaz
azan dilaungkan, dengan pantas doa berbuka puasa disebut dan hidangan
dijamah.
Sewajarnya sikap ini dipraktikkan terus, bukan saja ketika Ramadan, malah sepanjang 11 bulan lainnya.
Bukan saja ketika berbuka puasa tetapi dalam segala aspek hidup kita
seperti bekerja, janji temu termasuk juga berhubungan dengan pasangan
dan anak-anak.
Ketika Ramadan juga, ramai individu yang meninggalkan tabiat bergosip atau lebih maklum dengan mengumpat.
Ops! Jangan tidak tahu, lelaki pun dah ramai yang pandai mengumpat
ya! Tabiat ini ditinggalkan ketika Ramadan bagi menjaga pahala puasa
agar tidak cair menjelang petangnya dan hanya mendapat penat.
Sebaiknya sikap ini diteruskan juga pada bulan lain. Hakikatnya, tabiat bergosip atau mengumpat memang tidak wajar dilakukan.
Bukan saja dilarang oleh syariat tetapi tidak wajar menurut pertimbangan akal dan moral.
Sudah tentu individu yang digosip akan sakit hati, marah hingga boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan.
Jika sikap meninggalkan gosip ini diteruskan selepas Ramadan,
hubungan sebagai rakan, saudara, handai dan taulan akan lebih mesra dan
berkekalan.
Kecemerlangan kerjaya
Hampir semua institusi mempunyai jadual kerja yang baharu khususnya
ketika Ramadan ini. Jika biasanya masuk kerja pukul 9 pagi dan balik
pukul 6 petang banyak institusi yang mempercepatkan waktu masuk kerja
dan memendekkan waktu rehat.
Ia dilakukan bagi memberi ruang agar para pekerjanya dapat balik
lebih awal daripada biasa untuk berbuka puasa di rumah bersama ahli
keluarga.
Ketika tiada lagi sesi bergosip dan kehendak untuk menyiapkan kerja
lebih cepat agar tidak perlu kerja lebih masa maka ramai pekerja yang
memberikan tumpuan dan fokus yang lebih baik berbanding waktu kerja
biasa sebelum bulan puasa.
Bukan saja bertujuan dapat balik awal tapi ada yang menyimpan harapan
agar diberikan imbuhan oleh ketua bagi kegunaan pada hari raya nanti.
Sewajarnya sikap begini dipraktikkan sepanjang masa, bukan hanya pada bulan puasa.
Syariat menetapkan setiap pekerja melaksanakan amanah yang
dipertanggungjawabkan oleh majikan dengan sebaiknya pada setiap masa,
bukan hanya ketika bulan puasa.
Rasa tidak bermaya untuk bekerja pada bulan puasa? Jika anda sematkan
di fikiran anda dengan prinsip: ‘Aku puasa, tak larat nak kerja’,
sememangnya anda akan mudah rasa lemah.
Namun, jika anda sematkan: ‘Puasa ke tak puasa, sama saja! Kerja
macam biasa, boleh balik awal lagi!’ Percayalah, anda akan memiliki
kekuatan dan semangat luar biasa.
Tubuh badan kita sentiasa berinteraksi dengan minda kita. Jika anda
fikirkan yang positif, hari-hari anda akan berlalu dengan positif juga.
Kecemerlangan hidup berkeluarga
Ramai yang maklum tentang keberkatan bulan Ramadan. Tahukah anda,
bulan Ramadan bukan saja bulan menambah pahala tetapi juga boleh
dijadikan sebagai masa untuk semarakkan kasih keluarga khususnya cinta
kasih suami isteri.
Jangan salah faham pula, Ramadan bukan halangan untuk bermesra atau berhubungan suami isteri.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:
“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari puasa bercampur dengan
isteri-isteri kamu. Mereka itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula
adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu tidak dapat
menahan nafsumu kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf
kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan campurilah apa yang telah
ditetapkan Allah untukmu.”
Ayat ini jelas mengizinkan pasangan suami isteri yang sah
perkahwinannya menurut hukum syarak untuk melakukan hubungan suami
isteri ketika bulan Ramadan tetapi bukan pada waktu siang hari.
Kalau melakukan hubungan seks suami isteri pada siang hari maka diwajibkan kafarah al-Uzma.
Bagi mereka yang menginginkan anak, boleh ambil kesempatan pada bulan
mulia ini untuk menghasilkan zuriat yang diberkati, insyaAllah.
Dalam satu riwayat pula, Aishah RA berkata yang bermaksud: Nabi
mencium dan menyentuh iaitu memeluk isteri baginda padahal baginda
berpuasa. - Hadis Riwayat Bukhari.
Hadis ini menjelaskan, tidak ada salahnya untuk bermesra antara suami
dan isteri ketika bulan Ramadan. Gunakan masa Ramadan ini untuk
sama-sama bersahur, berbuka puasa dan berjemaah mengerjakan solat
tarawih.
Para suami, boleh membantu isteri menyediakan hidangan berbuka puasa
ataupun boleh tolong jaga anak-anak, berikan peluang kepada isteri untuk
memasak dengan aman di dapur.
Kalau selalu isteri yang bangun pagi sediakan hidangan untuk
bersahur, apa salahnya sesekali suami buat kejutan, bangun awal sikit
dan sediakan hidangan sahur.
Cukuplah nasi putih dengan telur dadar, insyaAllah anda akan dipeluk
oleh isteri awal-awal pagi tu. Tidak percaya? Cubalah dulu.
Moga Ramadan ini menjana ketakwaan dan kecemerlangan diri buat kita semua, amin.
No comments:
Post a Comment