BEGITU pantas masa berlalu. Ramadan cuma tinggal beberapa hari saja
lagi. Jika diibaratkan beberapa hari yang tinggal itu seperti kita
mengetahui sesuatu yang buruk akan berlaku atau seperti suatu peluang
keemasan akan berakhir, sudah tentu kita akan bersiap sedia untuk
menghindarkan yang buruk dengan segala persiapan atau berebut-rebut
mengambil peluang keemasan seberapa daya.
Begitulah harapnya sikap kita terhadap anugerah keemasan Ramadan yang
kita tidak tahu sama ada akan berjumpa dengannya lagi pada tahun depan
atau tidak. Oleh itu, marilah kita merebut baki hari yang ada dengan
penuh kesungguhan sebagaimana umat Islam diingatkan supaya beribadat
kepada Allah SWT seolah-olah akan mati keesokan hari dan bekerja untuk
dunia seolah-olah akan hidup selamanya.
Namun, usaha ini tidak akan sempurna jika hati tidak diketuk untuk
merenungi dan menilai apa yang telah dilakukan melalui muhasabah. Ia
adalah kitaran penilaian yang tiada penghujung. Apatah lagi apabila
berada di penghujung Ramadan yang mana Allah memberi rangsangan sangat
kuat kepada hamba-Nya dengan janji nikmat yang tidak boleh ditunaikan
oleh manusia seperti pengampunan, penghindaran daripada seksa api neraka
dan dianugerahkan dengan malam lebih baik daripada 1,000 malam iaitu
malam lailatul- qadar.
Allah juga menegaskan berkali-kali dalam surah al-Rahman nikmat
manakah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang didustakan. Sesungguhnya
rahmat Allah itu Maha Besar dan Dia Maha Pengasih lagi Penyayang
melimpahkannya.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Allah
memiliki seratus rahmat. Satu rahmat diturunkan kepada jin, manusia dan
binatang. Dengan rahmat itu mereka saling mengasihi, saling menyayangi
dan dengannya haiwan melindungi anaknya. Sedangkan sembilan puluh
sembilan rahmat yang lain, Allah simpan untuk hamba-Nya pada hari
kiamat.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
Inilah antara gambaran kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya dan
ditegaskan oleh Rasulullah SAW bahawa umatku adalah umat yang dikasihi.
Antara aspek penting yang perlu dimuhasabahkan adalah muhasabah waktu
iaitu bagaimana detik, masa dan hari pada Ramadan telah dimanfaatkan.
Muhasabah waktu, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya yang
bermaksud: “Bagi orang yang berakal hendaklah ia mempunyai empat
waktu: Iaitu pertama, waktu untuk bermunajat kepada Allah. Kedua, waktu
untuk muhasabah dirinya, ketiga, waktu untuk berfikir mencari hikmah
pada penciptaan Allah SWT, dan keempat waktu untuk memenuhi keperluan
kehidupannya di dunia dan mencari rezeki.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Malah, Saidina Umar bin al-Khattab juga mengingatkan yang bermaksud:
“Hitunglah (amalan) kamu sebelum nanti (waktu) kamu dihitung, timbanglah
(berat amalan) kamu sebelum nanti (waktu) kamu akan ditimbang.” (Hadis
riwayat Ibn Majah).
Oleh itu, marilah kita memuhasabah diri dan menilai kasih sayang kita
kepada-Nya melalui amalan khusus serta kerja seharian sama ada sudah
berjaya ditunaikan dengan penuh kesyukuran dan kesungguhan atau
sebaliknya. Keperluan muhasabah ini ditambah suasana dan waktu kita yang
semakin sibuk dengan pelbagai persiapan menyambut Syawal.
Dalam konteks pengurusan, usaha muhasabah hasil kerja juga adalah
satu kaedah utama dalam proses penilaian berterusan dan menjadi kunci
kejayaan. Sama ada sesuatu usaha itu dinilai secara berjadual melalui
penilaian suku tahun atau penggal, penilaian mingguan, bulanan atau
tahunan, ia memberi dua matlamat penghasilan.
Pertama, untuk merancang tindakan masa depan sama ada menambahbaik
atau membetulkan sebarang kekurangan dan kekhilafan daripada tindakan
lalu. Kedua, untuk mengenal potensi diri.
Begitulah juga apabila muhasabah setiap waktu pada Ramadan ini, sama
ada telah dimanfaatkan serta dapat mengukur sejauh mana potensi dan
kekuatan diri dengan amal ibadat dan kerja berkualiti dalam keadaan
berpuasa. Usaha muhasabah bukan sekadar untuk mencapai kedua-dua
penghasilan, tetapi yang utama untuk mensyukuri nikmat dan meraih
keredaan Allah.
Mereka yang sering bermuhasabah adalah insan yang memandang ke depan
dengan hasrat untuk lebih berjaya dan mereka adalah yang cintakan
kecemerlangan. Mereka sanggup berkorban dan bersedia untuk bersusah
payah bagi mencapai kejayaan.
Imam Ahmad dalam Musnadnya menyebut: “Dan sesungguhnya kemenangan
itu bersama kesabaran, kesenangan itu bersama kesusahan dan
sesungguhnya pada kesulitan itu ada kemudahan.”
Justeru, marilah kita muhasabah waktu untuk mengenal potensi diri
pada Ramadan ini supaya terisi dengan keempat-empat perkara demi
persiapan hari esok seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Wahai
orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri
memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat).” (Surah al-Hasyr, ayat 18)
No comments:
Post a Comment