Monday 5 December 2022

APAKAH yang dimaksudkan dengan keberkatan sebenarnya?

 APAKAH yang dimaksudkan dengan keberkatan sebenarnya?

Keberkatan mempunyai makna yang begitu luas. Ia perlu difahami secara menyeluruh supaya umat Islam lebih bersemangat untuk mendapatkannya. Ulama telah menetapkan, ada empat elemen penting dalam keberkatan.

Pertama, keberkatan hanya berlaku ke atas sesuatu yang baik saja dan berbentuk nikmat dan kedua, jika keberkatan berlaku ke atas sesuatu yang sedikit, maka ia akan menyebabkan yang sedikit itu menjadi cukup.

Seterusnya, jika keberkatan berlaku ke atas sesuatu yang banyak, maka ia akan menyebabkan yang banyak itu mampu dimanfaatkan dan dinikmati, akhirnya, dimanfaatkan sepenuh ke jalan dan keredaan Allah SWT.


Sehubungan itu, pada Ramadan yang mulia ini gunakanlah segala nikmat yang ada untuk mengecap keberkatan daripada Ilahi. Sudah semestinya keberkatan juga tidak akan diperoleh kecuali daripada orang yang bertakwa.

Hal ini dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan perbuatan mereka itu." (Surah al-A'raf, ayat 96)


Apakah benar keberkatan hanya terdapat dalam harta sahaja dan tidak berlaku dalam nikmat lain. Mohon penjelasan ustaz.

Tidak benar. Keberkatan yang dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya sangat luas dan tidak tertumpu kepada harta semata-mata tetapi meliputi semua sudut nikmat dalam kehidupan manusia. Keberkatan dalam perkahwinan ialah apabila pasangan dapat merasai kebahagiaan, ketenangan, kesabaran dan kasih sayang sepanjang melayari bahtera rumah tangga.

Setiap masalah berjaya diselesaikan dengan baik dan terancang. Ini adalah keberkatan yang patut disyukuri oleh setiap pasangan yang bertakwa.

Ramai yang menyangka keberkatan tidak turun kepada anak dan itu satu tanggapan yang salah. Anak pada hakikatnya turut menerima tempias keberkatan jika ibu bapa bertakwa kepada Allah SWT. Bukti keberkatan pada anak ialah apabila mereka mudah menerima nasihat, hidup dalam ketaatan, mudah belajar, hidup senang di hari muka serta tidak menyusahkan ibu bapa.

Semua ini anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya namun, tidak ramai dalam kalangan manusia yang menyedarinya.

Keberkatan ilmu akan dapat dirasai apabila seseorang itu berjaya mengambil manfaat daripada ilmu dipelajarinya walaupun sedikit. Ia lebih mulia berbanding orang yang banyak ilmu tetapi tidak langsung mendapat manfaat daripada ilmunya itu.

Pangkat juga anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya. Keberkatan boleh dirasai seseorang apabila pangkat yang disandangnya itu mampu meningkatkan lagi integriti, amanah, keadilan dan ketakwaan kepada Ilahi.

Lebih jelas lagi keberkatan terhadap pangkat itu apabila pemegangnya berjaya membantu orang bawahan untuk turut berjaya dalam kerjaya. Tidak cukup dengan itu, mereka saling membantu untuk berjaya di dunia dan akhirat.


No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...