Sunday 16 June 2019

Puasa enam mengukur impak Ramadan

Kehadiran Syawal bukan semata-mata meraikan kejayaan melipatgandakan amal ibadat sepanjang Ramadan lalu, sebaliknya ia menjadi pengukur sama ada bulan puasa yang berlalu memberi impak atau sebaliknya kepada jiwa kita.
Justeru, antara amalan sunat yang menjadi rebutan umat Islam dalam Syawal ialah puasa sunat enam.
Malah antara nikmat yang sungguh hebat untuk mereka yang berpuasa ialah syurga yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa sahaja seperti sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka, tidak ada yang dibenarkan masuk. (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain pula, Nabi SAW menceritakan orang berpuasa diseru untuk memasuki syurga melalui pintu itu hingga apabila semua melintasnya, pintu itu akan ditutup.
Dalam menilai sejauh mana kedudukan puasa Ramadan seseorang Muslim, maka puasa enam boleh dianggap antara kayu pengukur tahap ketakwaan selepas berjaya melaksanakan sebulan puasa.
Nabi SAW bersabda: Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan 10 bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (pada Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” (HR Nasa’ie)
Penceramah bebas, Dr Mohd Sobri Ellias, berkata menjadi cabaran kepada umat Islam untuk menunaikan puasa sunat itu kerana bukan mudah berpuasa dalam keadaan orang lain bebas makan minum hidangan yang enak.
Ganjaran besar
Justeru, Mohd Sobri berkata, Allah SWT memberi ganjaran besar kepada mereka yang berjaya melepasi ‘ujian’ itu.
Katanya, amalan sunat itu, lebih afdal dilakukan berturut-turut awal bulan Syawal, iaitu bermula daripada 2 Syawal.
“Namun sekiranya tidak mampu, boleh dikerjakan secara berselang-seli sepanjang Syawal yang fadilatnya tetap ada. Ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, Baginda menyebut Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya,” katanya.
Mengulas mengenai puasa sunat berkenaan dengan wanita, Mohd Sobri berkata, lebih afdal dan utama bagi wanita mengasingkan puasa qada yang dilakukan sebagai ganti terhadap puasa ditinggalkan disebabkan haid daripada puasa enam, sekali gus menjadi pendapat yang muktamad dalam Mazhab Shafie.
“Sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa fardu dan sunat ini secara berasingan, kerana sebagai hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub (mendekatkan diri kepada Tuhan) dengan memisahkan antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentu lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai hamba yang mencari keredaan-Nya,” katanya.
Mohd Sobri yang juga Mudir Pondok Turath Islam Baitussaadah, berkata antara mendahulukan puasa qada dengan puasa enam, yang afdal adalah mendahulukan puasa sunat enam Sya-wal.
“Puasa qada boleh dilakukan dalam bulan selain Syawal berbanding puasa enam hanya terhad dalam Syawal ini.
Khilaf dalam kalangan ulama
“Antara persoalan sering timbul sekitar puasa enam adalah apakah menggabungkan puasa qada dengan puasa enam hari itu, mendapat ganjaran kedua-dua pahala itu meskipun dengan amalan sama,” katanya.
Beliau berkata, berlaku khilaf dalam kalangan ulama apabila sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu atau sunat lain.
“Sekiranya dilakukan, maka puasanya itu dianggap tidak sah, iaitu tidak bagi puasa fardu dan juga amalan sunat terbabit.
“Ada dalam kalangan ulama Mazhab Shafie berpendapat ganjaran puasa enam tetap akan diperoleh apabila seseorang berpuasa qada sekalipun tidak berniat menggabungkan kedua-duanya.
“Bagaimanapun, pahala yang diperoleh kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan seperti dalam kitab Hasyiah asy-Syarqawi ‘ala Tuhfah at-Tullab,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran berpuasa sunat dengan menyertai acara rumah terbuka, Mohd Sobri berkata, puasa untuk mendekatkan diri dengan Allah (hablun minallah), manakala memenuhi jemputan pula adalah menjaga hubungan sesama manusia (hablun minannas).
Justeru katanya, bagi mengelakkan ada pihak terguris hati, umat Islam digalakkan memenuhi undangan itu dan mendoakan kebaikan, keampunan serta keberkatan tuan rumah seisi keluarganya tanpa perlu berbuka puasa.
“Bagaimanapun, mereka boleh juga berbuka puasa, bahkan sunat hukumnya berbuat demikian sekiranya ia membabitkan puasa sunat.
“Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah alasan untuk tidak memenuhi jemputan,” katanya.
Ibnu Umar RA misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa.
Nabi SAW bersabda: Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.” (HR Muslim)
Justeru, Mohd Sobri berkata, cadangan mengadakan majlis rumah terbuka bermula sebelah petang hingga ke malam boleh dilakukan bagi membolehkan semua pihak diraikan dalam suasana lebih harmoni.

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...