Monday 3 July 2017

AMALAN SUNAT BULAN SYAWAL

PUASA enam pada bulan Syawal adalah amalan sunah yang dilakukan Rasulullah SAW. Ia dilaksanakan selepas sebulan umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan.
Menyingkap hikmah berpuasa enam Syawal, daripada Abu Ayub al-Ansari, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa (setahun).”
Advertisement
Dalam erti kata lain, ayat itu membawa maksud siapa yang puasa enam hari selepas bulan Ramadan akan diberi ganjaran pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Mohd. Kalam Mazad Abd. Rahman, 40, berkata, para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran itu dengan menyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diberi ganjaran sebanyak 10 kali ganda.
“Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diberi ganjaran sebanyak 300 hari manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari.
“Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari dalam setahun iaitu sebanyak 360 hari,” tuturnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menyesal
Tambahnya, ramai masyarakat tidak memandang fadilat berpuasa enam pada bulan Syawal kerana tidak nampak kebaikannya.
“Hanya di padang mahsyar, manusia akan dapat melihat kebaikan amalan-amalan sunat ini. Pada masa itu, mereka akan menyesal mengapa tidak melakukan puasa enam,” tegasnya.
Sebagaimana yang sedia maklum, semua amalan sunat adalah untuk penampung dan penambah kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardu.
“Seharusnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
“Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki segala kekurangan dalam ibadat puasa sepanjang Ramadan,” ujarnya.
Dalam pada itu, seseorang yang hendak berpuasa sunat pada bulan Syawal adalah lebih afdal berturutan seperti puasa pada bulan Ramadan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari sebelum tempoh bulan Syawal berakhir.
Hari yang digalakkan berpuasa sunat enam Syawal pula ialah paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah Hari Raya Aidilfitri dan dilarang daripada berpuasa pada hari itu.
Sementara itu, Mohd. Kalam turut memaklumkan, bagi wanita yang hendak berpuasa enam tetapi perlu menggantikan puasa akibat datang haid, mereka digalakkan melakukan perkara wajib terlebih dahulu iaitu menggantikan puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadan.
“Namun, Islam ini mudah. Islam memahami jika menggantikan puasa selama beberapa hari, dikhuatiri tidak sempat berpuasa enam pada bulan Syawal.
“Maka, usah risau kerana mereka tetap mendapat ganjaran berpuasa enam berkenaan selagi seseorang itu berpuasa dalam bulan Syawal,” katanya sambil memberitahu, cara menguruskan puasa enam Syawal sama seperti berpuasa pada bulan Ramadan.

No comments:

Post a Comment

UNTUK RENUNGAN BERSAMA

  TAZKIRAH PAGI INI UNTUK RENUNGAN BERSAMA بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ ال...