Nisfu
Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam
bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu
Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan
lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu
Syaaban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti
setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban
iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban merupakan
malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.
Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi tidak tidur pada malam
itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Al-Baihaqi r.a: “ Rasulullah telah bangun pada malam (Nisfu
Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir
beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari
kaki Baginda dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku
dengar Baginda berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan
kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan
keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu.
Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu
sendiri. Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda berkata
kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban.
Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam
Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar,
memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf
dan nahi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap
orang-orang yang dengki.” ” Hari Nisfu Syaaban adalah hari
dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat
ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama
yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk
waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan
Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib) Nabi Muhammad
s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta
beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam
keadaan tidur atau lalai.