Monday 30 July 2012

Sesi kaunselingku...hari ni


BARU- baru ini, guru yang saya suka memarahi saya di depan pelajar lain kerana tidak dapat menjawab soalan yang ditanya. Saya rasa sangat sedih dan benci kerana bukan saya tidak mahu menjawab soalan itu, tapi memang tidak tahu jawapannya.
Selalunya dia tidak pernah memarahi saya kerana dia seorang guru yang baik.
Tapi apabila saya dimarahinya, saya menjadi tawar hati untuk belajar.

cikgu pin saya ingin tahu, adakah dia sudah tidak suka kepada saya? Adakah guru marah anak murid kerana mereka ambil berat? 
klienku



MENJADI seorang guru memang besar cabarannya. Berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar mendedahkan guru kepada pelbagai tekanan. Psikologi seorang guru perlu kuat kerana tugas guru banyak berhadapan dengan emosi. Guru baik ialah guru yang dapat mengawal emosi apabila berhadapan dengan tekanan berbeza.
Selain itu, peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasa dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya nyata.

Peranan guru bukan saja sebagai penyampai ilmu, malah sebagai jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda dan pembangun sahsiah. Guru juga agen perubahan. Guru mendidik anak-anak bangsa, seperti adik yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara
saya lihat, perbuatan guru memarahi Man(bukan nama sebenar) bukan kerana dia tidak suka kepada Man, tapi lebih kepada keinginan beliau agar adik dapat menguasai pelajaran yang diajar. Sikap ini menunjukkan guru Man memang mengambil berat. Tiada guru yang suka melihat anak muridnya gagal dalam hidup. Bersifat tawar hati untuk belajar akibat dimarah hanya akan memberi kesan negatif kepada pembelajaran Man. Jadikan peristiwa dimarah guru itu sebagai motivasi untuk Man lebih bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

MANA Yang lebih penting....telefon rosak atau hati rosak


KALAU telefon bimbit kita rosak, secepat kilat kita pergi baiki. Maklumlah penting sangat untuk berkomunikasi. Kalau rosak siang tak tunggu malam, kalau rosaknya waktu malam tak sempat siang cuba hendak baiki juga.
Dalam banyak perkara penting, kita lupa perkara yang tersangat penting dalam hidup kita iaitu hati. Kita lupa nak jaga dan pimpin hati. Hati di sini ialah hati rohani, iaitu ‘al-qalb’. Hati qalbu iaitu hati nurani tempat letaknya iman dan Islam. 
“Jagalah hati jangan kau kotori, jagalah hati tenteram hidup kamu”. Itu antara lagu berkaitan hati. Salah satu penyakit yang merosakkan kehidupan beriman kita ialah sifat takbur.

Wajib kita jaga hati supaya jangan sampai takbur merosakkan kita. Di sini penulis ingin berkongsi bahaya dan cara merawat penyakit takbur.

Sifat takbur (sombong) adalah mazmumah yang wajib sangat dikikis segera. Kalau tidak ia akan menutup semua jalan kebaikan yang mungkin dilakukan seseorang.

Hampir semua manusia ada sifat ego atau sombong. Untuk membuangnya, amat susah sekali. Imam Ghazali berkata, bahawa sifat ego itu hampir mustahil dapat dibuang semuanya dari jiwa manusia.

Bagaimanapun, kita perlu berusaha mengurangkannya. Kita mesti cuba merendah diri dengan memaksa hati merasa dan mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai manusia biasa.

Dalam perselisihan pendapat atau pergaduhan kita dengan orang lain misalnya, cuba rasakan kesilapan itu di pihak kita. Atau paling tidak, akuilah bahawa kita juga turut bersalah.

Bukankah ada pepatah mengatakan, “Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.”
Kalau kita mampu dan berani mengakui kesalahan, mampulah kita meminta maaf.

Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa kita sesama manusia akan terhapus. Oleh itu, kita perlu melatih diri melawan sifat sombong atau takbur itu. Latihan yang lebih berkesan lagi ialah biasakan diri tinggal bersama dengan orang yang dipandang rendah oleh masyarakat.

Orang susah, peminta sedekah, orang cacat dan siapa sahaja yang setaraf, kita dampingi dan gauli. Duduk, bercakap, minum dan tidur baring bersama mereka hingga kita rasa sama seperti mereka.

Waktu itu jiwa ego kita akan berasa kesal, terhina dan terseksa sekali kerana kita merasakan orang lain semua mengejek dan merendah-rendahkan kita.

Biarkan. Bisikkan di hati, “Memang awak ini asalnya miskin dan hina. Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang ke dunia dulu tanpa seurat benang dan sesen wang.”

Kalaulah amalan itu dibiasakan, Insya-Allah sifat ego sedikit demi sedikit dapat kita buang. Alah bisa tegal biasa dan yakinlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Dan ingatlah selalu firman Allah: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka seseorang yang sombong lagi membangga diri.” (Surah Luqman ayat 18).

Allah berfirman lagi: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah satu golongan menghina golongan yang lain kerana boleh jadi mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina. Dan jangan pula wanita (menghina) wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita yang dihina lebih baik dari wanita yang menghina.”
(Surah Al Hujurat ayat 11).

Janganlah kita berjalan di muka bumi dengan sombong kerana kekayaan kita.
Kekuatan kita tentu tidak dapat membelah bumi dan ketinggian kita tetap tidak dapat menyamai bukit.

Imam Syafie pernah berkata, “Tidak akan mulia orang yang mengangkat diri dan tidak akan hina orang yang merendah diri.” Sifat berkasih sayang sesama manusia adalah sifat terpuji yang dituntut Allah.

Ia adalah lawan kepada sifat sombong, hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapatkannya, kita kena melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu mudah. Itu bukan latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia tidak perlukan latihan. Memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu dan ayah.

Tetapi yang memerlukan latihan ialah untuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita atau berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.

Latihan itu sangat susah hendak dilakukan kerana ia sangat bertentangan dengan nafsu. Tetapi kita diminta juga untuk mengusahakannya.

Sebab itu Rasulullah bersabda: “Hendaklah buat baik kepada orang yang buat jahat kepada kamu.” Biasanya kita hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita sahaja.

Kalau ada kawan yang menyinggung kita, kita tidak sanggup berbuat baik kepadanya. Sebab itulah kita kena latih melawan kemahuan jahat itu.

Caranya, orang yang kita tidak suka itu, kita ajak makan bersama, ajak berbual, ajak bermesra, ajak berjalan dan lain-lain lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan hati susah sedikit.

Tidak mungkin sekali dua kita usahakan, kita terus mendapat hasilnya. Kita kena lakukan latihan itu sepanjang masa. Bila ada peluang melakukannya, teruslah bertindak.

Sanggupkah kita membuat latihan seperti yang disebutkan tadi? Kalau kita mampu berbuat, kitalah rijal. Kitalah wira kerana sanggup memerangi nafsu. Ertinya sanggup memerangi diri sendiri. Namun, ia bukannya perkara mudah.

Amat susah sekali, terseksa kita dibuatnya. Adakalanya hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat baik kepada kita pun amat susah.

Betapa pula hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi. Namun, melalui latihan yang bersungguh-sungguh, Insya-Allah ia akan dipermudahkan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Surah Al Ankabut ayat 69).
oleh  Mohd.Zawawi Yusoh

Sunday 29 July 2012

Iblis sentiasa sesatkan manusia


SETELAH Allah mengisytiharkan iblis sebagai makhluk yang sombong dan akan menjadi penghuni neraka terkutuk, iblis berikrar akan berusaha menyesatkan manusia.
Ikrar Iblis itu termuat di dalam surah Al-A’raaf ayat 16-17 yang bermaksud: “Kerana Engkau (Allah) menghukum saya tersesat, maka saya benar-benar akan menghalang-halangi mereka (manusia) dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya (Iblis) akan mendatangi mereka (Manusia) dari muka dan dari belakang mereka, dari kanan dan dari kiri mereka. Dan Engkau (Allah) tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat). 
Daripada ayat itu, Imam Al-Ghazali dalam salah satu kitabnya menjelaskan, iblis akan menyesatkan anak Adam dengan cara mengubah cara pandangannya terhadap kebenaran.

Yang benar dipandang salah dan begitulah sebaliknya. Contohnya, seseorang mengajak kita solat ke masjid, iblis akan membisikkan ke telinga kita: “Lihat si fulan itu ajak kamu ke masjid (solat), si fulan rajin doa dan lain sebagainya tapi cuba lihat apa yang dia dapat dari semua itu? masih miskin-miskin juga.”

Jika terpengaruh, kita akan mengiyakan tetapi jika melawan kita akan mengatakan: “Solat adalah kewajipan saya sebagai Muslim, soal rezeki urusan Allah.”

Selain itu, iblis juga akan menggunakan cara kedua iaitu mendatangi dari belakang. Pada tahap itu, iblis berusaha menundakan ibadat manusia, contohnya, apabila sudah mendengar azan di masjid tetapi iblis akan membisikkan ke telinga manusia mengapa terburu-buru sedangkan waktu asar masih panjang.

Jadi bisikan itu akan menyebabkan kita lewat menunaikan solat, malah ada yang terus meninggalkannya.

Jika cara itu tidak berhasil, iblis akan menggunakan pula cara ketiga iaitu datang dari arah kanan. Iblis akan menghalang manusia melakukan perkara yang lebih sempurna dalam ibadat.

Jika sudah berjaya pada peringkat pertama hingga ketiga, tetapi iblis akan membisikkan pula, mengapa perlu ditambah-tambah lagi jika sudah selesai melaksanakan kewajipan (buat solat sunat).

Jika tidak berjaya, mereka datang pula dari sebelah kiri iaitu seseorang itu ditanamkan rasa sombong di hati atau berasa diri mereka paling baik.

Iblis tetap meneruskan usahanya dengan membisikkan lagi supaya hati kita kalah dengan pujian. “Hebat la kamu punya ibadat tepat waktu, setelah yang wajib, kamu zikir dan menambah ibadat dengan yang sunat.”

Manusia yang mendapat pujian itu akan terbit di dalam hatinya rasa sombong dan berasa dirinya hebat berbanding orang lain.

Jika itu yang berlaku, samalah kita dengan iblis laknatullah, sombong, bongkak dan memandang rendah kepada orang lain.

Jika kita berjaya menepis semua bentuk bisikan dan godaan itu, insya-Allah syurga Allah menanti kita di akhirat kelak.

Tuesday 24 July 2012

Hati Tenang Apabila Sujud dan Syukur kepada NYA

Keredhaan akan membuahkan  rasa syukur yang merupakan  tingkat keimanan yang paling tinggi. Dalam tahap iman, rasa syukur itu adalah  puncaknya. Orang yang besyukur adalah orang yang paling menikmati hidup.  Mereka menjalani hidup dengan tenang setiap masa.
Setiap insan yang dilahirkan di muka bumi ini tidak pernah dapat lari daripada masalah. Masalah ini seolah-olah mengejar hidup setiap insan. Jika tiada masalah maka ia tidak boleh dinamakan kehidupan. Masalah ini kadangkala mampu meningkatkan diri kita sama ada dari segi kerjaya mahupun personaliti kita. Masalah juga kadang-kadang mendesak kita mengubah hidup kita seperti apa yang telah kita rancang sejak dari awal. Antara masalah yang wujud di persekitaran kita ialah masalah kemiskinan, kehilangan orang tersayang, masalah cinta, masalah pertengkaran dengan ibubapa, gagal dalam peperiksaan serta banyak lagi.
Dalam kesibukan diri melayari bahtera kehidupan ini, banyak dugaan dan cabaran yang kita temui, mungkin ada cabaran yang berjaya kita harungi, dan ada yang sebaliknya.Cuma hakikatnya, kita sebagai manusia memang tidak lepas dari menghadapi dugaan ini.



Para ulama’ dan ahli ibadah zaman dahulu mengklasifikasikan ujian yang diterima oleh seseorang itu adalah mahar yang akan dijadikan saksi ketika hari yang tiada saksi melainkan amalan yang soleh, ia juga dianggap sebagai sebuah nikmat kerana bagi mereka Allah masih menerima amalan dan masih melihat mereka.
Mengamalkankan  sifat Syukur dalam kehidupan seharian membuatkan kita rasa tenang. Syukur adalah satu sifat yang sangat penting di dalam diri seseorang.Tanpa syukur, seorang manusia itu akan lupa daratan dan sentiasa merasakan diri merekalah yang sebenarnya sempurna dan berkuasa.Lihat sahaja kepada contoh golongan yang tidak bersyukur yang telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai iktibar kepada hamba-Nya.
Selain dari kita mensyukuri nikmat Allah, melakukan sujud syukur merupakan amalan sunnah. Sujud Syukur ialah satu sunnah yang ditinggalkan kepada kita untuk sujud dalam menunjukkan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan Allah S.W.T atau atas terhindarnya seseorang dari marabahaya dan malapetaka. Bila menerima sesuatu yang baik dan menggembirakan, maka kita diajarkan untuk sujud syukur.
Firman Allah yang bermaksud :“ Dan sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya faedahnya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, (tetapi) sesiapa yang kufur ( tidak bersyukur)(maka tidaklah menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman : 12).
Rukun sujud syukur adalah pertama, Niat keduanya, Takbiratul Ihram ketiga, Sujud (sekali sahaja) baca Allahu Akbar ketika bergerak sujud dan ketika bangun dari sujud dan di akhiri dengan  Salam.
Sujud syukur seperti yang dijelaskan di atas merupakan satu ibadat yang tuntutannya adalah sunat. Cara melakukannya pun mudah tetapi nilainya tinggi di sisi Allah sepertimana yang dijelaskan oleh hadis Baginda tentang kelebihan sujud syukur ini.
Oleh itu, kita semua digalakkan supaya jangan dilepaskan peluang melakukan ibadat sujud ini, walaupun ia hanya merupakan tuntutan sunat tetapi dengan melakukannya bererti kita menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W dan dan tidak mengabaikan ajaran Islam.
Dibawah ini  adalah ayat yang digalakkan dibaca sewaktu sujud :
سجد وجهي للذي خلقه وصوره وشق سمعه وبصره بحوله وقوته
Maksudnya: “ Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta”.
Akhir kalam,  betapa pentingnya kita bersyukur dan sentiasa istiqamah dalam mengabdikan diri dan beribadat kepada Allah. Kalau kita sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi Allah itu, nescaya Allah akan menambah lagi pemberian tersebut sama ada kita sedari atau tidak. Satu amalan yang baik bagi menunjukkan kita bersyukur ialah dengan melakukan sujud syukur.Orang yang bersyukur juga tidak meninggalkan semua amalan fardhu yang disuruh dan melakukan amalan-amalan sunat kerana ia cinta kepada Allah dan cinta kepada Rasulullah. Tambah lagi dengan melakukan amalan sujud syukur ni adalah sunnah Rasulullah S.A.W.

~ DOA PELEMBUT

 




~ DOA PELEMBUT ~

Cara-cara untuk melembutkan hati mengikut kaedah ISLAM..

Kita kadang kala ada masalah dalam melembutkan hati orang lain mahu pun hati kita sendiri.. sedarkah kite sebenarnya Islam telah pun menyediakan jalan keluar dalam setiap permasalahan? disini saya kongsikan kaedah bagaimana kita menjaga dan melembutkan hati.. sesungguhnya hati yg lembut mudah dilekati IMAN.

Untuk itu, beberapa nasihat berikut patut kita renungi bersama dalam usaha kita untuk melembutkan hati. Kita hendaklah sentiasa:

1. Takut akan datangnya maut secara tiba-tiba sebelum kita sempat bertaubat.

2. Takut tidak menunaikan hak-hak Allah secara sempurna. Sesungguhnya hak-hak Allah itu pasti diminta pertanggungjawabannya.

3. Takut tergelincir dari jalan yang lurus, dan berjalan di atas jalan kemaksiatan dan jalan syaitan.

4. Takut memandang remeh atas banyaknya nikmat Allah pada diri kita.

5. Takut akan balasan seksa yang segera di dunia, kerana maksiat yang kita lakukan.

6. Takut mengakhiri hidup dengan su'ul khatimah.

7. Takut menghadapi sakaratul maut dan sakitnya sakaratul maut.

8. Takut menghadapi pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir di dalam kubur.

9. Takut akan azab di alam kubur.

10. Takut menghadapi pertanyaan hari kiamat atas dosa besar dan dosa kecil yang kita lakukan.

11. Takut melalui titian yang tajam. Sesungguhnya titian itu lebih halus daripada rambut dan lebih tajam dari pedang.

12. Takut dijauhkan dari memandang wajah Allah.

13. Perlu mengetahui tentang dosa dan aib kita.

14. Takut terhadap nikmat Allah yang kita rasa siang dan malam sedang kita tidak bersyukur.

15. Takut tidak diterima amalan-amalan kita.

16. Takut bahwa Allah tidak akan menolong dan membiarkan kita sendiri.

17. Kekhuatiran kita menjadi orang yang tersingkap aibnya pada hari kematian dan pada hari timbangan ditegakkan.

18. Hendaknya kita mengembalikan urusan diri kita, anak-anak, keluarga dan harta kepada Allah SWT. Dan jangan kita bersandar dalam memperbaiki urusan ini kecuali pada Allah.

19. Sembunyikanlah amal-amal kita dari riya' ke dalam hati, kerana terkadang riya' itu memasuki hati kita, sedang kita tidak merasakannya. Hasan Al Basri rahimahullah pernah berkata kepada dirinya sendiri. "Berbicaralah engkau wahai diri. Dengan ucapan orang soleh, yang qanaah lagi ahli ibadah. Dan engkau melaksanakan amal
orang fasik dan riya'. Demi Allah, ini bukan sifat orang mukhlis".

20. Jika kita ingin sampai pada darjat ikhlas maka hendaknya akhlak kita seperti akhlak seorang bayi yang tidak peduli orang yang memujinya atau membencinya.

21. Hendaknya kita memiliki sifat cemburu ketika larangan-larangan Allah diremehkan.

22. Ketahuilah bahwa amal soleh dengan keistiqomahan jauh lebih disukai Allah daripada amal soleh yang banyak tetapi tidak istiqomah dengan tetap melakukan dosa.

23. Ingatlah setiap kali kita sakit bahawa kita telah istirahat dari dunia dan akan menuju akhirat dan akan menemui Allah dengan amalan yang buruk.

24. Hendaknya ketakutan pada Allah menjadi jalan kita menuju Allah selama kita sihat.

25. Setiap kali kita mendengar kematian seseorang maka perbanyaklah mengambil pelajaran dan nasihat. Dan jika kita menyaksikan jenazah maka bayangkanlah jika kita yang
sedang diusung.

26. Hati-hatilah menjadi orang yang mengatakan bahwa Allah menjamin rezeki kita sedang hatinya tidak tenteram kecuali sesuatu yang ia kumpul-kumpulkan. Dan menyatakan sesungguhnya akhirat itu lebih baik dari dunia, sedang kita tetap mengumpul-ngumpulkan harta dan tidak menginfakkannya sedikit pun, dan mengatakan bahwa kita pasti mati padahal tidak pernah ingat akan mati.

27. Lihatlah dunia dengan pandangan iktibar (pelajaran) bukan dengan pandangan
mahabbah (kecintaan) kepadanya dan sibuk dengan perhiasannya.

28. Ingatlah bahwa kita sangat tidak kuat menghadapi cubaan dunia. Lantas apakah kita sanggup menghadapi panasnya jahannam?

29. Di antara akhlak wanita mukminah adalah menasihati sesama mukminah.

30. Jika kita melihat orang yang lebih besar dari kita, maka muliakanlah dia dan katakan kepadanya, "Anda telah mendahului saya di dalam Islam dan amal soleh maka dia jauh lebih baik di sisi Allah. Anda keluar ke dunia setelah saya, maka dia lebih baik sedikit dosanya dari saya dan dia lebih baik dari saya di sisi Allah."

✿ Mari berubah jadi baik..
~ biar pedas sampai kebas, mati itu pasti jadi hidup biar bererti
~ Alang-alang hidup, hiduplah sebagai da'ie. Alang-alang mati, matilah sebagai syuhada.. Moga Bermanfaat untuk semua..

Wednesday 4 July 2012

Amalan sedekah bawa keberkatan




SETIAP manusia sudah dijamin rezekinya oleh Allah. Ia tidak hanya dikatakan sebagai wang ringgit tetapi pengertiannya amat luas sekali merangkumi kesihatan yang baik, ketenteraman jiwa, keturunan, isteri dan anak yang baik.
Ada yang runsing dan sering mempertikaikan masalah rezeki yang dimiliki. Mereka merungut kerana sudah bertungkus-lumus mencari rezeki namun kehidupan masih tidak berubah.
Sebagai hamba Allah yang beriman, anggaplah semua itu dugaan serta cabaran untuk menjadikan diri lebih kuat dan cekal berusaha.

Teruskan berusaha kerana setiap kejayaan pastinya memerlukan kerja keras tanpa berputus asa melaksanakannya.
Bersikap reda dan bertawakal supaya Allah memberkati segala yang kita lakukan. Sesungguhnya Allah Maha Pemberi dan Pemurah atas rezeki untuk hamba-Nya.
Semua yang berlaku atas izin-Nya. Ketika seorang hamba berprasangka buruk kepada Allah, maka keburukanlah yang diterima.
Jika mereka bertawakal kepada Allah maka Allah pasti mencukupkan keperluannya. Allah berfirman yang bermaksud:
“Barang siapa yang me nyerahkan diri kepada Allah, maka Allah akan mencukupkannya (memelihara). Sesung guhnya Allah menyampaikan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan qadar (takdir) bagi setiap sesuatu.” (Surah at-Taalaq ayat 3).
Namun tahukah kita sikap memberi atau bersedekah mempunyai kelebihan dalam urusan pencarian harta. Malah ia membuka pintu rezeki lebih luas kepada mereka yang melakukannya.
Amalan bersedekah penyubur kebaikan serta melipat gandakan rezeki sese orang hamba. Allah berfirman yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya pada jalan Allah, seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, pada tiap tangkai ada seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah ayat 261).
Tidakkah kita merasa tertarik dengan janji Allah berikan itu? Tidak dinafikan, semua orang mahu hidup senang; mempu nyai rumah yang luas dan selesa, berkereta mewah, memakai pakaian cantik dan bercuti ke luar negara .
Namun dalam erti kata sebenar, kehidupan kita tidak berstatus kerana ada kalanya kita berada di atas dan begitulah sebaliknya. Tujuan kita hidup bukan untuk memenuhi nafsu tetapi kita perlu melihat kekurangan dan kesengsaraan orang lain.
Jika Allah ‘memberi’ pinjaman kekayaan kepada kita maka gunakan kesempatan itu untuk melihat segala yang berlaku di sekeliling. Sebenarnya masih ada lagi yang memerlukan perhatian dan bantuan.
Justeru jalankan amanah kekayaan yang Allah kurniakan itu bagi membantu golongan memerlukan. Dalam rezeki Allah itu terdapat hak orang lain yang perlu dimanfaatkan.
Bersifat individualistik melambangkan seorang itu tidak berhati perut, sukar didekati dan orang ramai tidak menghormatinya. Walaupun memberi dalam kuantiti sedikit tetapi sedikit itulah keberkatannya.
Alangkah baik jika pendekatan mencari rezeki sambil menyumbang diterapkan dalam diri kita. Sabda Rasulullah:
“Tidaklah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah.” (Riwayat Muslim).
Beri setakat mana termampu dulu kerana sumbangan sekecil itu menjadi pembersih harta kita. Sedekah orang yang kurang hartanya lebih besar ganjarannya.
Rasulullah bersabda:
“Sedekah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta. (Riwayat Ahmad).
Allah berfirman:
“Orang-orang yang menaf kahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak me nyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).
Apabila bersedekah, kita mesti iringi dengan perasaan gembira dan tidak boleh menyesal. Jika tidak mampu menyumbang harta, setidak-tidaknya berusaha menyumbang tenaga dan fikiran bagi mengajak orang sekeliling melakukan kebaikan.
Rasulullah berbual dengan sahabat, maksudnya:
“Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah”, sahabat berkata: Bagaimana jika tidak mampu? Nabi menjawab: “Berusahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.
Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).
Sahabat bertanya: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran.
Sahabat bertanya lagi: Bagaimana jika masih tidak mampu? Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Seelok-eloknya, galakkan diri bersedekah kepada ahli keluarga yang miskin dan memerlukan sebelum melaksanakannya kepada orang lain.
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sedekah kepada orang miskin mendapat satu pahala, namun apabila diberi kepada yang punyai pertalian (kerabat), dua pahala iaitu satu sedekah dan satu lagi adalah merapatkan hubungan.” (Riwayat At-Tirmidzi).
Bersedekah boleh meringan kan bebanan orang lain dan menyelamatkan kita daripada api neraka. Rasulullah bersabda:
“Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” (Hadis Riwayat At Tirmidzi).
Justeru, beberapa perkara perlu diambil perhatian demi kesempurnaan amalan sedekah antaranya barang yang disedekahkan mestilah baik. Tidak wajar sama sekali barang yang disedekahkan itu kita sendiri tidak tergamak menggunakannya.
Allah melarang bersedekah dengan benda yang tidak baik kerana bersedekah adalah ibadat dan tanda mensyukuri nikmat Allah.
Kemudian sesuatu yang disedekahkan mesti halal.
Sunat jika bersedekah dengan benda atau barang yang disukai dan disayangi tidak kira ia banyak atau sedikit. Allah berfirman yang bermaksud:
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran ayat 92).
Jangan sesekali bersedekah kemudian mengungkit, merungut dan menyakiti hati orang yang menerima kerana perbuatan itu haram serta merosakkan amalan sedekah.
Pegawai Pengurusan Dakwah Munirah Care, Muhammad Khusairi Abdullah, berkata galakan kepada umat Islam bersedekah perlu supaya umat Islam terbela.
“Sedekah yang diberikan secara sembunyi lebih afdal. Perbuatan ini lebih dekat kepada keikhlasan kerana menjauhkan diri daripada riak hingga merosakkan amalan.
“Penumpuan perlu diberikan kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat. Mereka terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, muallaf, riqab (hamba yang menebus dirinya secara ansuran), al-gharimin (orang yang menanggung hutang dan tidak mampu menyelesaikannya), fisabilillah (berjuang di jalan Allah) serta ibnu sabil (musafir yang terputus bekalannya di perantauan).
“Setiap kali bersedekah pastikan niat kita ikhlas kerana Allah. Jika kita menderma hanya sekadar untuk mendapat pujian, nama atau pangkat ia tidak memberi sebarang makna,” katanya.
Beliau berkata, sedekah membuatkan seorang Muslim mendapat pelbagai nikmat dan kesan kehebatan sedekah itu dapat dirasai ketika berada di dunia lagi.
“Orang yang istiqamah bersedekah atau berinfak hartanya mudah menerima ilmu Allah, terhindar daripada penyakit, jiwa sentiasa tenteram dan menghapuskan sifat bakhil yang bersarang dalam diri.
“Tidak kira siapa kita sama ada kaya atau kurang hartanya mesti berusaha dan bersedia untuk bersedekah. Umpamanya jika kita mempunyai wang RM10 tidak mengapa jika bersedekah sebanyak RM1 kerana yang penting keikhlasan itu mendapat nilaian istimewa daripada Allah,” katanya.
Beliau berkata ganjaran kepada mereka yang bersedekah cukup besar kerana apa saja yang mereka infak itu pahala terus diterima secara berkekalan.
“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”
“Dari hadis berkenaan membuka peluang untuk kita mendapatkan bekalan sebelum mata tutup buat selamanya. Jika kita sedekahkan al-Quran atau sejadah untuk kegunaan jemaah di masjid, selagi mana ia digunakan maka pahala tetap sampai kepada kita. Begitu juga apabila memberi makan, minum dan pakaian kepada anak yatim maka sudah tentu ganjarannya cukup besar,” katanya.

MEMORI MAJIS PERKAHWINAN ANAKANDA