Monday 21 May 2012

Kelebihan bulan Rejab


Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Qur’an atas segala Qalam.

1.Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari Syurga.
2. Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.
3. Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya.
4. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.
5. Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:
* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.
6. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada
bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu
kejahatan.
7. Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada atahari seribu kali.
8. Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan
Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.
Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan
Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.
9. Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
“Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian Ku dan kebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu,
engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau”.(dari kitabRaudatul Ifkar)
Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.
10. Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.
11. Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya(berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun.
Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Qur’an dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.
Rejab ertinya ta’zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu
maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.
Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.


Tuesday 15 May 2012

Sambutan Hari Guru

Kuala Kangsar, 16/05/2012 – Bertempat di Dewan Jubli Perak, Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-41 Tahun 2012 diadakan hari ini di Perak. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’.

Tema Hari Guru kali ini amat bersesuaian dengan tahun 2012 yang juga merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi di peringkat nasional, selain peranan guru yang amat penting dalam melonjakkan prestasi pencapaian murid. Kecemerlangan dan kemenjadian murid adalah puncak manifestasi seseorang guru hasil daripada kerja-kerja pendidikan yang mampu menghasilkan modal insan yang kompeten dan cerdas dalam aspek ilmu dan kemahiran; inovatif dan kreatif; bersahsiah dan paling penting bersifat patriotik serta cintakan tanah air.

Malah guru inovatif juga mampu melonjakkan transformasi terhadap murid dengan berbekalkan ilmu dan kemahiran sains teknologi terkini dan ini membuktikan bahawa modal insan berinovasi menjadi prasyarat utama kepada pertumbuhan produktiviti ke arah penjanaan ekonomi berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, para pendidik diseru agar bersama-sama berusaha membuat anjakan daripada daya upaya peralatan kepada daya upaya minda dan daripada pemudahcara kepada pencetus invensi dan inovasi.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of The Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.


selamat hari guru....terima kasih cikgu...jasamu tetap dikenang...

Monday 7 May 2012

SAYANG...perlu dipelajari

Belajarlah sayang supaya terus BERSYUKUR walau KEKURANGAN


Belajarlah sayang supaya terus IKHLAS walau TAK RELA

Belajarlah sayang supaya terus TAAT walau BERAT

Belajarlah sayang supaya terus MEMAHAMI walau TAK SEHATI

Belajarlah sayang supaya terus SETIA walau BANYAK GODAAN

Belajarlah sayang supaya terus MEMBERI walau TAK SEBERAPA

Belajarlah sayang supaya terus MENGASIHI walau kau DISAKITI

Belajarlah sayang supaya terus TENANG walau kau sedang GELISAH

Belajarlah sayang supaya terus PERCAYA walaupun SUSAH

Percayalah sayang bahawa Allah SWT masih sanggup menolongmu itu tanda Allah sentiasa SAYANG padamu

HAK SEORANG ANAK..

Hak', hanya tiga huruf namun memberi makna yang sangat besar.
Jika salah percaturan, kita akan disoal di akhirat kelak berkaitan soal hak ini.
Hak ini bukan sahaja diharuskan malahan wajib dilaksanakan oleh setiap ibu bapa.
Mungkin ramai yang sudah tahu, tapi apa salahnya kalau kita ambil tahu sekali lagi.
Saya percaya kita semua bakal menjadi ibu dan bapa suatu hari nanti.
Jadi sedikit sebanyak kita kenalah tahu berkenaan hak anak.
Saya mohon untuk tidak persoalkan apa yang telah ibu dan bapa kita lakukan (mungkin tidak menepati apa yang kita mahu, jika kita ada alternatif lain untuk menjadi lebih baik, ikutlah yang baik itu) jadi kita praktikkan kepada bakal anak-anak kita. insyaallah..
Sabda Rasulullah saw :
" Di antara tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya ada tiga iaitu pertama memberikan nama yang baik , kedua, mengajarkan tulisan (ilmu dan adab ) dan ketiga mengahwinkan apabila telah baligh".
01. Berikan nama yang baik kepada anak-anak. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh seorang pengkaji Jepun (Dr. Masaru Emoto) telah melakukan ujikaji terhadap molekul-molekul air.
Apabila didekatkan kalimah-kalimah yang baik kepada molekul-molekul air tersebut maka molekul-molekul yang terhasil adalah sangat cantik manakala apabila didekatkan molekul-molekul air dengan kata-kata yang tidak elok atau kata-kata kesat maka molekul-molekul air tadi berubah menjadi sangat buruk dan hodoh.
Ini menunjukkan bahawa tindak balas molekul air terhadap kalimah-kalimah yang baik adalah positif dan sebaliknya.
 Badan kita kita juga terdiri daripada 70% air (darah).
Secara logiknya apabila kita memberi nama yang baik kepada anak-anak diambah pula dengan asuhan yang yang mengikut acuan Islam maka insyaAllah, anak-anak yang didik akan menjadi pejuang di jalan ALLAH.
02. Adalah tanggungjawab ibu bapa untuk mengajarkan ilmu dan adab kepada anak-anak. Ilmu, maksudnya di sini ibu bapa memberi pendidikan kepada anak-anak (fardu ain dan fardu kifayah).
Sekarang ni pun, kerajaan telah menetapkan supaya setiap anak yang berusia 7 tahun di hantar ke sekolah rendah.
Bagi ibu bapa yang ingkar boleh dikenakan hukuman penjara atau denda sehingga RM 5000 (Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar pada ketika itu tahun 2006).
Bukan sikit denda yang dikenakan, nilainya boleh buat bayaran permulaan untuk membeli kereta.
Adab pula merujuk kepada perbuatan yang baik berhubung dengan percakapan, perbuatan mahupun amalan.
Adab juga boleh diertikan sebagai akhlak mulia atau baik. Akhlak yang baik adalah bukti kukuh keluarga yang mulia.
Sabda Rasullullah
"Sesungguhnya seseorang kamu yang mengajar adab kepada anaknya adalah lebih baik baginya daripada beliau bersedekah setengah gantang setiap hari."
03. Mengahwinkan anak apabila telah baligh. Bila ibu bapa mendapat si anak sudah cukup syarat untuk bergelar isteri atau suami maka si ibu dan bapa bolehlah mengahwinkan anak mereka dengan pasangan yang sekufu yang dinilai dari 4 perkara iaitu agamanya, keturunannya, rupanya dan hartanya.
Baru-baru ni dalam perbualan telefon dengan seorang sahabat. Biasalah di kala usia sudah melangkah ke alam awal dewasa persoalan nikah kahwin ini tidak lari dari topik perbualan.
Kata beliau, 4 perkara yang menjadi penetuan pemilihan jodoh adalah rupa, harta, keturunan dan agama. Dalam zaman serba canggih dan dunia tanpa sempadan hari ini.
Rupa, yang kurang cantik boleh menjadi cantik. Yang kurang handsome boleh menjadi handsome kerana begitu banyak produk kecantikan yang dijual di pasaran.Harta, harta boleh dicari dengan kepesatan teknologi dan ilmu. Banyak perniagaan yang boleh diceburi jika mahu apatah lagi kini banyak peluang-peluang perniagaan yang muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Tambahan pula 9/10 pintu rezeki adalah daripada berniaga.Keturunan, keturunan atau nasab yang ada pada hari ini sudah banyak yang bercampur-baur. Yang berketurunan Syed mahupun Sharifah juga sudah banyak yang berkahwin dengan orang biasa, yang kerabat diraja juga dah banyak yang berkahwin dengan rakyat jelata.Agama, jadi yang tinggal hanyalah AGAMA yang menjadi kayu ukur dalam pemilihan pasangan.
Oleh itu, ibu dan bapa wajib mengahwinkan anak mereka dengan pasangan yang tepat.
Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya."
Rasulullah saw bersabda lagi:
"Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi."
Hadis ini lebih merujuk kepada anak gadis, namun kepada si lelaki janganlah kamu menjadi lelaki yang fasik itu.
Namun kita sebagai seorang anak pasti ini yang kita mahukan.
Wahai ayah dan ibuku,
Berikan daku makanan daripada sumber yang halal.
Sihatkan dan suburkan tubuhku dengan beridah bersama
Hindari daku daripada segala bahaya terutama azab neraka
Awasi kecenderunganku agar selari dengan syariat
Pastikan ilmu fardhu ain daku sempurna
Dorongilah daku agar memiliki akhlak yang terpuji
Nasihatilah daku dalam menjauhi sifat yang keji
Tanamkan rasa bertuhan dan kehambaan di dalam hatiku
Suburkan kecintaanku kepada AllahDidiklah daku dengan sunnah Rasullullah
Bimbinglah daku dengan ajaran Islam yang lengkap dan sempurna
Latih dan Jadikan daku Pejuang Kebenaran
Ingatkan daku peranan sebagai khalifah Allah SWT di dunia
Doakan daku semoga menjadi anak yang soleh dan solehah.
Doakan semoga kita akhirnya berjumpa lagi di Syurga Allah.
Semoga memberi manfaat...sekian.semoga kita semua dibawah Lindungan ALLAH SWT selalu...amin

Sunday 6 May 2012

HIdup Kita

Hidup kita ibarat subjek matematik iaitu TAMBAH, TOLAK, DARAB dan BAHAGI. Amalan yang baik hendaklah DITAMBAHKAN. Segala perbuatan yang buruk dan dimurkai oleh Allah hendaklah DITOLAK, pahala amalan hendaklah DIGANDAKAN dan masa yang ada hendaklah DIBAHAGIKAN dengan sempurna agar kita tidak tergolong di kalangan mereka yang rugi hidup di dunia dan akhirat.

Kata2 Motivasi

Berjayalah orang-orang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia
( Al
-Mu’minun :1-3 )

Allah tidak melihat rupa dan kekayaan anda Allah melihat hati dan amal anda
(Hadis Nabi)
Penawar yang paling mujarab ialah rajin
(Iman Ghazali 1058 - 1111)
Tiap-tiap bertambah ilmuku akan bertambah pula keinsafan bahawa
terlalu banyak yang aku tidak tahu
(Iman Syafie 767 – 820 m )
Gantunglah cita-citamu setinggi bintang di langit
(Soekarno 1901 – 1970)
Demi kejayaan rebutlah lima masa;
Mudamu sebelum tua,
Sihatmu sebelum sakit,
Kayamu sebelum fakir,
Lapangmu sebelum sibuk,
Hidupmu sebelum mati
(Hadis Nabi Riwayat AL-Bukhari 194 – 256 H)
Fikiran hanya tumbuh kalau dipergunakan dan surut kalau dibiarkan menganggur
(Iman Syafie 767 – 820 M)
Tanpa disiplin yang tinggi seseorang itu terdedah kepada penyimpangan matlamat
(Tun Hussein Onn 1922 – 1990 )
Rahsia kejayaan ialah ketekalan tujuan
(Benjamin Disraeli 1804 – 1881)
Take a moment now to dream and to think what you really want for your life
(Anthony Robbins 1986 - )
Tidak ada yang mustahil bagi yang berani mencuba
(Iskandar Zulkarnain 356 – 323 sm)
Jika matlamat anda jelas anda boleh mencapainya dengan mudah
(Lao Tzu 604 – 531 sm)
Belajar tanpa berfikir adalah sia-sia ; berfikir tanpa belajar adalah berbahaya
(Confucius 551-479 sm)
Orang yang menyisihkan diri daripada pergaulan tidak akan mencapai kemajuan.
Pergaulan itu mencerdaskan dan menajamkan ingatan
(Aristotle)
Tidak cukup mempunyai minda yang baik yang penting menggunakannya dengan baik
(Rene Descartes 1596 – 1650)
Tiada hari yang terlalu panjang bagi mereka yang suka bekerja
( Seneca
Pujangga Rom )
Reading to the mind what exercise is to the body
(Sir
Richard Steele 1672 – 1729)
Jangan biarkan ayam di kepuk mati kelaparan itik di air mati kehausan
( Aminuddin
Baki )
Lebih besar kesulitan yang kita alami lebih besarlah kejayaan yang akan kita capai
(Marcus Tullius Cicero 106 – 42 sm)
Setiap kerja yang besar itu pada mulanya adalah mustahil
(Thomas Carlyle)
Sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa yang dibaca akan memerintah dunia (Napoleon Bonaparte 1769 – 1821)
Minda yang kerdil umpama pokok yang kerdil tidak boleh berbuah dan berbunga
(Prof Diraja Ungku Aziz 1992 )
Lebih baik mencucuh sebatang lilin daripada mengutuk kegelapan
(Peribahasa Cina)
Kejayaan tidak boleh diukur dengan kedudukan yang dicapai seseorang tetapi melalui halangan-halangan yang ditempuhi semasa mendaki tangga kejayaan
(Brooker T. Washington 1856 – 1915)
Kita tidak boleh berjaya sekiranya kita mengatakan kita akan gagal
(Dr Mahathir Mohamad 1925 - )
Memulakan sesuatu itu adalah hebat tetapi menyelesaikannya adalah lebih hebat
(H.W. Longfellow 1807 – 1882 )
Akar pendidikan memang pahit tetapi buahnya manis
(Aristotle 384 – 322 sm)
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan
(Pepatah Melayu )
"Jangan berasa rugi hari ini kerana mengeluarkan sedikit modal tetapi anda pandanglah keuntungan besar yang anda akan kecapi esok hari "
"Setiap idea yang buruk akan menjadi terbaik jika diusahakan "
" Kebanyakan orang gagal bukan disebabkan kegagalan itu sendiri tetapi disebabkan
mereka takut gagal "
Ilmu itu didapati dengan lidah yang gemar bertanya dan akal yang suka berfikir
Kemakmuran dan kesejahteraan hidup akan tercapai apabila manusia menggunakan
segala tenaga yang dibekalkan itu dengan niat yang betul dan denga
n cara yang tidak bertentangan dengan syariat, maka ianya menjadi ibadat.
Dengan demikian manusia bukan sahaja akan menikmati manfaat di dunia bahkan mendapat balasan yang kekal di akhirat. Manusia seperti ini merupakan makhluk yang menghuni syurga yang mendapat dua hasanah – hasanah di dunia dan hasanah di akhirat

Motivasi...

Satu Impian Lebih Baik Dari Seribu Mimpi, Satu Kesedaran Lebih Baik Dari Seribu Impian,
Satu Tindakan Lebih Baik Dari Seribu Kesedaran, Satu Matlamat Lebih Baik Dari Seribu Tindakan,
Satu Keihklasan Lebih Baik Dari Seribu Matlamat.
Mulakanlah Walaupun Sedikit, Melencong Seinci Rugi Seribu Batu '
KEAZAMAN UNTUK BERJAYA
di atas kegagalan anda semalam
binalah bangunan hidupmu buat hari esok
letakkan batu-bata tujuan yang teguh, dan
sediakan puing-puing raksasa dari kejatuhanmu yang silam,
ukirkan menara-menara yang hebat, bagi
membenam lembah-lembah air mata kehampaan.
Usahalah dengan sabar, walaupun usaha anda itu perlahan.
Namun dari hari ke sehari, binaan itu akan tumbuh cemerlang.
Percayalah kepada Tuhan, dan dengan penuh keyakinan,
Bahawa anda akan berjaya dari apa yang anda usahakan.

Tuesday 1 May 2012

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 2012
PADA 29 APRIL 2012; PUKUL 10.30 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN PICC

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

YBhg. Dato’ Dr Rosli Mohamed
Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia

YBhg.Dato’ Sri Abd. Ghafar Mahmud
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

YBhg. Tan Sri Dato’ Dr Wan Mohd Zahid bin Wan Mohd Noordin
Pengerusi Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara

YBhg. Tan Sri Dato’ Dzulkifli bin Abdul Razak
Pengerusi Panel Penilai Bebas Kajian Semula Pendidikan

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

1.         Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan izinNya kita dapat sama-sama berhimpun pada pagi yang berbahagia ini untuk menyempurnakan majlis Pelancaran Dialog Nasional Pendidikan Negara. Kehadiran saudara dan saudari pada hari ini amat bermakna bagi diri saya, yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata. Kesanggupan mengorbankan cuti hujung minggu sudah cukup menggambarkan betapa saudara dan saudari begitu mengambil berat tentang pendidikan anak-anak dan masa depan negara kita.

2.         Sesungguhnya, siri Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dimulakan pada hari ini dan berterusan untuk tempoh tiga bulan akan datang menawarkan peluang yang terbaik untuk saudara dan saudari serta seluruh rakyat Malaysia menyumbangkan buah fikiran dan saranan bagi meningkatkan taraf dan kualiti sistem pendidikan di negara kita. Kita mulakan usaha ini kerana kita tahu tidak ada apa yang lebih bermakna untuk kita wariskan kepada generasi masa hadapan negara melainkan pendidikan yang terbaik untuk mereka. Saya bagi pihak kerajaan amat berbesar hati untuk mendengar segala pandangan anda, mendengar harapan anda, aspirasi anda dan gerak hati anda untuk membolehkan kita mencari formula terbaik dalam menjayakan agenda transformasi pendidikan negara.

PENCAPAIAN PENDIDIKAN NEGARA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

3.         Bidang pendidikan di negara kita telah melalui beberapa fasa transformasi sejak Malaysia mencapai kemerdekaan. Transformasi yang pertama bermula dengan penggubalan Penyata Razak 1956 yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara kaum dan memupuk perpaduan nasional melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah kebangsaan. Pelbagai peristiwa yang melatari hubungan  kaum di negara kita pada zaman awal selepas merdeka telah menimbulkan kesedaran tentang betapa pentingnya pendidikan dijadikan wahana utama dalam usaha untuk memupuk perpaduan kaum dan membina negara bangsa yang bersatu padu. Justeru, teras perpaduan nasional dalam sistem pendidikan kita telah diperkukuhkan lagi oleh Laporan Rahman Talib 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan Jawatankuasa Kabinet 1974 dan 1979.  Jelasnya, pelaksanaan pelbagai perakuan dalam laporan-laporan ini telah memberi sumbangan besar kepada usaha memupuk dan memperkukuhkan perpaduan nasional di negara kita.

4.         Transformasi yang kedua tercetus apabila Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan pada tahun 1988. Buat julung kali dalam sejarah, pendidikan di negara kita diberikan satu hala tuju yang jelas untuk memupuk nilai-nilai murni melalui pembinaan sahsiah yang seimbang.  Di bawah lembayung Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan di negara kita menjadi wahana utama untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

5.         Dalam konteks ini, pendidikan di negara kita berperanan untuk melahirkan rakyat yang bukan sahaja berilmu pengetahuan, tetapi juga berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berketrampilan. Inilah prinsip asas yang menjadi panduan kepada segala usaha pembangunan pendidikan di negara kita selama ini. Dalam menempuhi pelbagai cabaran di pentas dunia global hari ini, kita berharap agar insan seimbang yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita berupaya bukan sahaja untuk mencapai kesejahteraan diri tetapi juga memiliki kekuatan moral untuk meberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat dan negara. Matlamat pendidikan yang murni ini akan terus kita pertahankan dalam merencana halatuju pendidikan negara pada masa hadapan.

6.         Seterusnya, transformasi ketiga dalam sistem pendidikan negara kita tercetus apabila hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020 menjadi agenda utama negara.  Sejak dari itu, sektor pendidikan di negara kita memberi tumpuan kepada usaha melahirkan sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih mencabar. Tanpa mengkesampingkan pendidikan yang holistik dan bersepadu, keutamaan diberikan kepada penguasaan ilmu sains dan teknologi yang merupakan nadi kepada pembangunan dan kemajuan negara. Fasa ketiga transformasi pendidikan ini menjadi lebih penting apabila negara kita pada awal dekad 1990-an mula menghadapi cabaran besar arus globalisasi.

7.         Sesungguhnya, ketiga-tiga fasa transformasi yang dilalui oleh sektor pendidikan di negara kita telah membuahkan hasil yang membanggakan. Sepanjang tempoh ini, kita telah mencatat beberapa kejayaan penting. Antaranya ialah kejayaan memperluaskan akses kepada pendidikan untuk semua rakyat. Pada tahun 1970, lebih satu pertiga daripada kanak-kanak di negara kita tidak berpeluang untuk mengikuti persekolahan. Tetapi hari ini jumlah kanak-kanak yang mengikuti sekurang-kurangnya pendidikan asas telah meningkat kepada 95 peratus.

8.         Begitu juga dengan kadar literasi. Jika kita menoleh ke belakang, kita dapati pada tahun 1970 hanya 75 peratus rakyat Malaysia yang boleh membaca dan menulis. Namun hari ini, kadar literasi di negara kita telah meningkat kepada lebih 90 peratus. Demikian juga halnya dengan taraf sosio-ekonomi rakyat. Dengan menyediakan pendidikan yang berkualiti, kita telah berjaya mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan. Kadar kemiskinan isi rumah di negara kita telah berjaya dikurangkan daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 kepada kurang 4 peratus sekarang. Pada masa yang sama, pendapatan per kapita rakyat telah meningkat daripada hanya RM1,159 pada tahun 1970 kepada RM28,000 pada tahun 2011.

CABARAN SISTEM PENDIDIKAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

9.         Banyak lagi kejayaan yang telah dicapai oleh negara kita hasil daripada transformasi yang berlaku dalam sistem pendidikan negara sepanjang 55 tahun kita merdeka. Meskipun begitu, kita tidak boleh leka dan lalai dengan kejayaan ini. Dalam perlumbaan menuju negara maju, kita perlu sentiasa meningkatkan kualiti pendidikan negara supaya kita tidak ketinggalan dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit. Untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, Malaysia perlu terus membangunkan sumber manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi melalui pendidikan yang berkualiti.

10.       Maka, pada hemat saya sudah tiba masanya kita melalui satu lagi fasa tranformasi pendidikan untuk menganjak kedudukan negara kita daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana kepada negara maju berpendapatan tinggi. Untuk meralisasikan hasrat ini, kita perlu melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa. Kita sedar bahawa modal insan yang mempunyai keupayaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa hanya akan lahir melalui sistem pendidikan yang bertaraf dunia. Justeru, kita mensasarkan dalam tempoh 15 tahun akan datang, Malaysia bakal meraih kejayaan seperti negara Korea, Finland, Jepun, New Zealand dan Singapura  yang berada pada kedudukan teratas dalam pencapaian pentaksiran di peringkat antarabangsa.

11.       Untuk tujuan itu, Kementerian Pelajaran kini sedang berusaha untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang menyeluruh berdasarkan satu kajian semula pendidikan negara yang melibatkan pandangan semua pihak berkepentingan dan masyarakat awam. Kajian ini akan membolehkan kita memahami pencapaian dan cabaran pendidikan di peringkat rendah dan menengah, yang kemudiannya boleh dijadikan asas untuk menentukan dasar dan halatuju pendidikan di peringkat pengajian tinggi pula.

SEMBILAN BIDANG UTAMA KAJIAN SEMULA PENDIDIKAN

12.       Dalam kajian semula pendidikan ini, sembilan bidang utama yang dianggap kritikal untuk mentranformasi pendidikan negara akan diberikan perhatian oleh kerajaan.

13.       Pertama, ialah memartabatkan profesion keguruan. Sebagaimana kita tahu, kecemerlangan pendidikan hanya dapat dicapai melalui kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran. Dapatan kajian antarabangsa menunjukkan bahawa guru yang berkualiti mampu meningkatkan pencapaian pelajar sebanyak 50 peratus dalam tempoh 3 tahun berbanding guru-guru lain. Untuk itu, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kualiti guru melalui pengambilan calon-calon guru yang memiliki keputusan akademik yang cemerlang serta meningkatkan kualiti latihan pra-perkhidmatan dan dalam perkhidmatan untuk guru-guru. Di samping itu, untuk tujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, kementerian telah menambah bilangan guru dengan ratio 1 guru bagi setiap 13 orang murid, iaitu melebihi purata antarabangsa 1 guru bagi setiap 16 orang murid.  Selaras dengan usaha untuk meningkatkan kualiti guru, kerajaan juga akan memastikan peluang perkembangan kerjaya guru di negara kita adalah setanding dengan apa yang dinikmati oleh guru-guru di negara-negara maju.

14.       Keduanya ialah meningkat kualiti kepimpinan sekolah. Sepertimana guru, pemimpin sekolah juga menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan.  Kajian menunjukkan bahawa pemimpin sekolah yang berwibawa berupaya meningkatkan pencapaian pelajar sebanyak 20% berbanding pemimpin sekolah yang lain.  Dalam usaha untuk memantapkan kualiti kepimpinan sekolah, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan Bai’ah atau tawaran baru dengan memberikan ganjaran kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam meningkatkan prestasi sekolah. Namun begitu, saya percaya masih terdapat ruang-ruang untuk memantapkan kualiti kepimpinan sekolah melalui pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan merit dan pelan peralihan kepimpinan sekolah  yang berkesan. Saya berharap agar aspek-aspek ini dapat diberikan perhatian utama dalam proses kajian semula pendidikan yang sedang dilaksanakan.

15.       Ketiganya ialah meningkatkan kualiti sekolah yang merupakan elemen penting dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Dalam era teknologi maklumat hari ini, sekolah yang berkualiti perlu mempunyai prasarana ICT yang lengkap untuk membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan lebih berkesan. Untuk tujuan ini, kerajaan membekalkan kemudahan ICT kepada sekolah termasuk kemudahan jalur lebar dan internet berkelajuan tinggi bagi memudahkan murid mengakses maklumat di dunia maya. Pelbagai bahan ilmiah yang diperolehi melalui pembelajaran maya pastinya dapat meningkatkan penguasaan ilmu di kalangan pelajar dan seterusnya merapatkan jurang pengetahuan antara sekolah.

16.       Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran untuk menyediakan modal insan abad ke-21. Sesungguhnya, asas kepada kejayaan sistem pendidikan terletak pada kualiti kurikulum sekolah yang akan menentukan kualiti modal insan yang dilahirkan. Justeru, keutamaan Kementerian Pelajaran dalam proses kajian semula pendidikan ini adalah untuk membina satu kurikulum yang memenuhi piawai antarabangsa dengan menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi yang merupakan ramuan utama untuk melahirkan modal insan yang mampu untuk bersaing di peringkat global.

17.       Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan murid.  Kita sedar akan kepentingan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara kita. Kementerian pelajaran sentiasa berusaha untuk meningkatkan penguasaan murid dalam kedua-dua bahasa ini.  Namun, adalah lebih baik sekiranya murid di negara kita dapat menguasai satu lagi bahasa seperti Mandarin, Tamil, Arab, Iban dan bahasa-bahasa antarabangsa. Apatah lagi dengan kemunculan kuasa baru ekonomi dunia yang sebahagiannya bertumpu di negara-negara Asia , penguasaan satu lagi bahasa selain bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua sudah tentu dapat meningkatkan daya saing negara kita di persada antarabangsa.

18.       Keenam ialah penglibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan. Seperti yang kita sedia maklum, proses pembelajaran tidak hanya berlaku sewaktu murid berada di sekolah. Jika kita ingin memperluaskan sistem pembelajaran, bermakna kita perlu memperluaskan persekitaran dan peluang pembelajaran melangkaui sempadan sekolah. Justeru, satu aspek yang ingin diberikan penekanan dalam kajian semula pendidikan ini ialah peranan pihak berkepentingan di luar lingkungan sekolah untuk berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian murid.

19.       Ketujuh ialah meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja. Terbukti, murid yang berjaya melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi akan memperolehi peluang kerjaya yang lebih baik, dan dengan itu mengecap kehidupan yang lebih selesa. Untuk itu, sistem pendidikan kita perlu dipastikan dapat menyediakan peluang lepasan menengah yang lebih baik untuk murid-murid kita. Kita perlu melengkapkan mereka dengan ilmu dan kemahiran yang akan membolehkan mereka memasuki pasaran kerja dalam sektor yang berdaya saing. Untuk tujuan ini, di samping menguasai literasi dan numerasi, murid-murid kita juga perlu dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran abad ke-21 seperti kualiti kepimpinan, kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran aturan tinggi (higher order thinking) dan kebolehan berkomunikasi dengan berkesan.

20.       Kelapan ialah memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber.  Bagi tahun 2012, sebanyak 16 peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, iaitu peratusan yang terbesar berbanding kementerian-kementerian lain. Dengan jumlah peruntukan yang besar ini, pihak kementerian tekad untuk melaksanakan program yang berimpak tinggi bagi meningkatkan mutu pendidikan di negara kita. Cabaran Kementerian adalah untuk mengurus sumber dengan cekap bagi mengelakkan ketirisan dan pembaziran serta memastikan sumber diagih secara optima agar pulangan yang maksimum terhasil daripada setiap ringgit yang dibelanjakan untuk pendidikan.

21.       Dan yang kesembilan ialah membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan. Pada masa ini, terdapat kira-kira 10,000 orang pegawai di peringkat kementerian, 6,000 di peringkat negeri, 4,000 di peringkat daerah dan 420,000 orang guru di sekolah. Inilah pasukan yang menggerakkan sistem penyampaian pendidikan di negara kita. Kejayaan sistem pendidikan kita bergantung pada sejauh mana sistem penyampaian di setiap peringkat berupaya untuk berfungsi dengan cekap dan berkesan.  Oleh itu, kajian semula pendidikan ini akan melihat bagaimana aspek kecekapan penyampaian pendidikan dapat ditingkatkan untuk memantapkan lagi kualiti pendidikan di negara kita. Dalam konteks ini, kualiti kepimpinan dan susunan urustadbir kementerian akan diberikan perhatian yang utama dalam usaha untuk meningkatkan kecekekapan dan keberkesanan fungsi pegawai di setiap peringkat.

DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

22.       Dalam merangka hala tuju pendidikan negara, kerajaan berhasrat untuk mendengar pandangan pelbagai lapisan masyarakat mengenai pencapaian dan cabaran masa depan sistem pendidikan kita. Walaupun pihak Kementerian menetapkan sembilan bidang utama kajian semula pendidikan, atas semangat musyawarah dan keterbukaan dalam memberi dan menerima pandangan, pihak Kementerian mengalu-alukan sebarang bentuk pandangan dan saranan berkaitan dengan soal pendidikan. Berilah pandangan yang konstruktif, rasional dan bertanggungjawab dengan niat yang ikhlas untuk meningkatkan kualiti dan martabat pendidikan di negara kita.

23.       Untuk itu, kerajaan mempelawa semua lapisan masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan suara hati kepada kerajaan melalui siri Dialog Nasional Pendidikan Negara yang bermula pada hari ini. Selepas perhimpunan ini, beberapa siri dialog akan diadakan di seluruh negara sehingga pertengahan bulan Julai nanti. Selain daripada siri dialog, pandangan juga boleh disampaikan melalui twitter, facebook dan laman sawang kajian semula pendidikan. Setelah kajian ini selesai, satu laporan awal akan disediakan dan rakyat sekali lagi dipelawa untuk memberikan pandangan sebelum dokumen  Pelan Hala Tuju Pendidikan Negara dimuktamadkan.

24.       Siri dialog ini adalah satu inisiatif yang bersejarah kerana buat pertama kali kerajaan mempelawa pandangan masyarakat umum dalam skala yang besar untuk bersama-sama merangka pelan pembangunan pendidikan negara ketika kita sedang melangkah memasuki fasa baru transformasi. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini untuk kita bersama-sama mencorak masa depan pendidikan negara yang melambangkan aspirasi rakyat seluruhnya.

25.       Namun begitu, harus diingatkan bahawa siri dialog ini bukanlah medan untuk mengutarakan tuntutan-tuntutan melampau yang bercanggah dengan perkara-perkara asas yang termaktub dalam Perlembagaan, undang-undang dan Rukunegara. Tumpukan perhatian kepada hal-hal yang berkaitan dengan peningkatan kualiti pendidikan yang akan memanfaatkan semua pihak. Saya juga ingin menegaskan bahawa kajian semula pendidikan ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti semua sekolah dalam sistem pendidikan kebangsaan dan ini termasuklah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina, sekolah jenis kebangsaan tamil, sekolah mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan. Jangan ada pihak yang merasakan hanya sekolah-sekolah tertentu sahaja yang akan menerima manfaat daripada kajian semula pendidikan ini, manakala sekolah-sekolah yang lain pula terabai. Untuk memastikan mutu pendidikan negara dapat ditingkatkan secara keseluruhannya, maka kualiti semua sekolah mesti kita tingkatkan.

26.       Selanjutnya, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kelestarian kemajuan dan kemakmuran negara kita terletak pada keupayaan kita semua untuk memupuk perpaduan dan keharmonian kaum yang berkekalan. Oleh yang demikian, fungsi sistem pendidikan kita sebagai wadah pembina negara bangsa dan perpaduan nasional berlandaskan prinsip-prinsip Rukunegara mesti terus disemarakkan. Sehubungan itu, saya amat mengalu-alukan pandangan saudara dan saudari sekalian mengenai cara bagaimana untuk kita tingkatkan lagi peranan sistem pendidikan kita sebagai wadah perpaduan nasional.

27.       Akhir kata, saya mengajak saudara dan saudari sekalian untuk turut serta dalam satu proses bersejarah yang akan mengangkat martabat sistem pendidikan kita dan menentukan kedudukan negara kita di peta dunia pada masa hadapan. Sesungguhnya, kelestarian pendidikan yang berkualiti bukan setakat menyediakan rakyat untuk menempa taraf negara maju, tetapi lebih dari itu untuk kekal maju dan berdaya saing. Untuk itu, sertailah Dialog Nasional Pendidikan Negara dan berilah sokongan padu anda kepada usaha kerajaan untuk mewujudkan pendidikan berkualiti yang lestari dan seterusnya mengangkat sistem pendidikan negara kita ke satu tahap yang disegani di peringkat antarabangsa. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya melancarkan Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012.

Wabillahi al-taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

MEMORI MAJIS PERKAHWINAN ANAKANDA