Sahabat yang dimuliakan,
Tanpa
di sedari, masa terlalu pantas berlalu. Setiap masa berlalu ini
bermakna umur kamu telah meningkat dan kamu sedang menuju ke distinasi
abadi. Hidup bermula dari alam kanak-kanak, memasuki alam remaja dan
sekarang masuk pula ke alam dewasa, sebahagian kita sudah sampai ke alam
usia emas.
Di
zaman manapun kalian berada sekarang, yang penting amal ibadah dan amal
soleh perlu berterusan, kerana setiap masa dan usia yang di habiskan
akan ditanya oleh Allah s.w.t. dihari Akhirat nanti. Sekarang ini kalian
berhadapan dengan zaman pancaroba, dugaan dan cabaran. Cabaran yang
sering menganggu iman dan hati, perasaan dan fikiran serta kewibawaan
tugas kalian. Ketika inilah kalian ingin merasai semua keadaan beserta
kenikmatan hidup yang sedang dicari.
Ingatlah
hidup didunia ini adalah persinggahan sementara, tempat rehat yang
tidak kekal dan segala kesenangan yang dinikmati yang amat sedikit
berbandingkan kenikmatan dihari Akhirat iaitu di Syurga Allah s.w.t.
Sedarlah kalian bahawa hakikat kehidupan seperti yang dimaksudkan dalam Surah al-'Ash "Demi
masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali
orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan
nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati
supaya menetapi kesabaran."
Sahabat yang diredhai Allah,
Kawallah
diri kalian dengan iman serta perindahkanlah akhlak kalian dengan
akhlak Islam. Tanpa kawalan iman nescaya lunturlah segala kekuatan dan
hancurlah segala kebaikan. Hati-hati dalam berfikir dan bertindak.
Batasilah setiap keinginan dengan rasa takut kepada Allah s.w.t.
Ketahuilah tiada siapa yang tidak dicatat amal dosanya. Waspadalah
selalu terhadap cabaran yang dilalui, hadapi dengan tenang serta
tepislah segala kehendak nafsu. Berilah perhatian yang lebih kepada
kesihatan hati. Usahlah biarkan hati kalian dihinggapi penyakit
sehinggakan hati mati sedangkan jasad masih bernyawa.
Hidupkanlah
hatimu dengan zikrullah, bersihkan hati dengan bertaubat dan istighfar
dan lembutkan hati dengan banyak membaca al-Qur'an. Pastikan tidak ada
makanan haram masuk dalam perutmu kerana sesungguhnya hati akan menjadi
gelap apabila ada makanan yang haram dan do'a-do'amu kepada Allah tidak
akan dimakbulkan-Nya.
Janganlah
membazirkan masa dan hartamu kejalan yang tidak berfaedah kerana
sesiapa yang suka membazir adalah kawan syaitan. Jadikanlah syaitan itu
musuhmu dan janganlah mengikut langkah-langkahnya. Salah satu daripada
hasutan syaitan adalah suka menangguhkan kerja-kerja kebaikan. Jika
hatimu tergerak untuk bersedekah hari ini, jangan ditangguh pada hari
esok. Jika kamu telah berjanji dalam apa urusan sekalipun pastikan kamu
menunaikan janji kerana salah satu sifat nifaq adalah apabila berjanji
dia mungkiri tanpa alasan yang syarak benarkan.
Sahabat,
Jadilah
kamu pencinta ilmu, timbalah ilmu hingga keakhir hayat dan
manfaatkanlah ia untuk membantu orang lain. Hiasilah diri dengan akhlak
Islam dan jagalah batas-batas pergaulanmu dan sentiasa beradap sopan
dalam berjalan dan bertutur kata. Layanilah rakan-rakan secara adil dan
janganlah sombong dan meninggikan diri kerana Allah s.w.t tidak menyukai
mereka-mereka yang sombong dan takjub dengan kelebihan diri sendiri.
Disamping
menjaga kekuatan iman serta kesihatan hatimu, usah dilupakan pakaian
yang melindungi dirimu. Pakaian yang dimaksudkan adalah pakaian takwa.
Takwalah yang akan mengawal serta menghindari dirimu daripada berbagai
gejala yang merosakkan iman serta hati.
Bersihkan
hati daripada sebarang kedengkian, berdendam, dan iri hati terhadap
keberhasilan orang lain. Peliharalah lidah daripada mencela, mengumpat
dan menyakiti hati orang lain. Kawallah mata daripada melihat yang
dilarang oleh syari'at.
Akhirkata marilah kita ambil iktibar dari kata-kata nasihat Al-Ustaz Shaari Che In untuk menjadi pedoman kita semua :
"Manusia
dikirim oleh Allah s.w.t kemuka bumi adalah sebagai buruh kontrek, maka
setiap kontrek itu bila dikirimkan tentu ada kerjanya yang hendak dia
laksanakan. Apabila habis kontrek itu maka dia perlu kembali ketempat
asalnya, apabila habis kontreknya dia tidak dapat menyambung kontreknya
kecuali kembali ketempat asalnya, samaada dia suka atau tidak, samaada
dia bersedia atau tidak, dia mesti kembali.
Bagi
manusia yang berakal waras dan faham tentang kedatangannya kemuka bumi
ini ianya akan berusaha siang dan malam untuk mengumpulkan bekalan
akhirat, kerana dia tahu apabila kontreknya sudah habis, kerja yang dia
buat sama ada sudah dibuatnya atau pun tidak dibuatnya ia tetap akan
kembali ketempatnya.
Wahai
saudara-saudaraku hidup kita di dunia ini tidaklah lama, mungkin
sekejap lagi kita akan mati. Tetapi sebelum kita mati biarlah kita
kerjakan kerja-kerja yang dituntut oleh Allah s.w.t., biarlah kerja yang
kita buat itu berkualiti semoga Allah s.w.t akan memberikan peratus
markah yang tinggi. Yang pentingnya kerja yang kita buat itu hendaklah
benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah s.w.t. mudah-mudahan Allah
akan mengampuni segala dosa kita dan memberikan kita Syurga yang menjadi
idaman kita."
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Tiap-tiap
umat ada mempunyai ajal (waktu mati) dan apabila telah datang ajal
mereka, tidaklah berkurang sesaat dan tidaklah terlebih sesaat (dia
pasti akan mati tepat pada masa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t."
(Surah al-Jumaah)
No comments:
Post a Comment